Jangan Biadap Zahid - kata Pelajar Baru UM

Dipetik dari blog Cuit Sikit

"Adakah wajar Datuk bercakap memperkecilkan seorang pemimpin yang telah menyumbangkan jasa bakti selama 22 tahun untuk negara ini?" tanya seorang mahasiswa baru Universiti Malaya dari etnik Cina kepada Zahid Hamidi.

Pertanyaan demikian muncul setelah Zahid menyalahgunakan ucapan beliau kepada mahasiswa baru universiti Malaya untuk memberi bayangan seolah-olah Tun Dr. Mahathir agak pelupa dan lemah ingatan setelah berusia lebih 80 tahun.

Zahid yang tergamam dengan pertanyaan tersebut hanya mampu menyeru supaya semua pihak memberi sokongan kepada kepimpinan hari ini.

RETROSPEKTIF

Pada 5 Julai 2006, 8.00 malam, Datuk Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Penerangan, menyampaikan ucapan kepada para pelajar baru Universiti Malaya. Pada siangnya sudah terdapat tanda-tanda keadaan hangat dalam kampus universiti Malaya yang masih bercuti (sekarang ini Minggu Haluan Siswa) kecuali pelajar baru sesi ini.

Dua kain rentang dibentangkan di atas fly over menuju pintu masuk Universiti Malaya berhampiran bangunan Telekom lama. Kain rentang bertulis, "Terima Kasih Tun Dr. Mahathir, Perjuangan Mu Memang Belum Selesai, Universiti Malaya Menyokong Mu" bukan sahaja mengejutkan orang ramai yang lalu malah pentadbiran Universiti Malaya.

Khabarnya Naib Canselor, UM, Dr. Rafiah Salim terpaksa mengarahkan pihak keselamatan (berpakaian biasa) menanggalkannya sebelum kedatangan Zahid Hamidi.