Alasan, Alih Pandang, dan Nafi Kenyataan

Usah kompromi soal Islam

Utusan Malaysia, 25hb November, 2008

Mukaddimah

USAHA untuk menyatukan orang Melayu dalam satu barisan seolah-olah menjadi cabaran yang cukup besar ketika ini. Walaupun pelbagai kongres dan seminar diadakan serta diiringi pula dengan seruan-seruan supaya orang Melayu bersatu namun ia seolah-olah menjadi sia-sia.

Orang Melayu dilihat terus berpecah belah dalam beberapa kelompok dan ini memungkinkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan mencabar apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan mengenai hak dan kedudukan golongan berkenaan.

Persoalannya, apakah masalah perpaduan di kalangan orang Melayu ini akan dibiarkan begitu sahaja? Untuk menjawab permasalahan ini, wartawan Utusan Malaysia, AZMAN ANUAR dan ZULKIFLEE BAKAR menemui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid dilihat pemimpin paling sesuai bercakap soal perpaduan Melayu itu yang sudah berkait rapat dengan perpaduan ummah. Portfolio beliau yang menjaga hal ehwal agama Islam dilihat platform terbaik bagi merealisasikan impian untuk menggerakkan usaha murni berkenaan.

Namun dalam pertemuan tersebut, Ahmad Zahid menegaskan, soal menyatukan orang Melayu bukan sahaja terletak di bahu satu pihak malah semua orang Melayu perlu memainkan peranan mereka.

Beliau yang bakal bertanding kerusi Naib Presiden UMNO turut mengulas mengenai pandangan bahawa kelemahan UMNO menjadi punca orang Melayu semakin diperkotak-katikkan.

UTUSAN: Walaupun menghadapi pelbagai cabaran namun orang Melayu masih dilihat sukar untuk bersatu, apa masalahnya?
AHMAD ZAHID:
Perpaduan Melayu bukan hanya satu retorik atau sekadar penghasilan resolusi. Ia harus dilihat melalui tindakan dan iltizam. Adalah lebih baik kita tidak membincangkan tetapi melakukan tindakan dengan cara membawa semua rakan-rakan yang mempunyai legasi pendapat dan wadah perjuangan berbeza duduk semeja. Beberapa langkah yang dibuat oleh NGO dan badan bertindak merupakan manifestasi terhadap ketidakpuasan hati terhadap tahap perpaduan ini. Berikutan tindakan pelbagai pihak yang mula mempertikaikan hak dan kedudukan orang Melayu dan Islam, maka kita harus melakukan muhasabah untuk melakukan tindakan bersama bagi mewujudkan perpaduan.

Apakah langkah atau tindakan itu?
AHMAD ZAHID:
Apa yang paling utama kita harus melihat apakah permasalahan yang timbul sekarang ini. Hakikatnya ia terkait dalam tiga situasi, pertama, situasi politik kontemporari, kedua, isu-isu keagamaan dan ketiga, isu ummah masa depan. Dari segi politik kontemporari saya lihat matlamat mencapai tujuan menjadi teras keutamaan sehingga ia melebihi daripada perpaduan Melayu sendiri. Dalam konteks ini kuasa Melayu harus dilihat menjadi asas induk negara kita. Apa yang dilontarkan oleh Raja Muda Perak jelas memperlihatkan manifestasi itu dan membuktikan bahawa bukan sahaja akar umbi malah pihak istana pun mula memperkatakannya. Ini berlaku kerana situasi yang berlaku sekarang menyebabkan seolah-olah orang Melayu sebagai induk negara ini sudah terhakis. Kedua, dari segi bagaimana kita harus berhadapan tindakan-tindakan pihak tertentu mempertikaikan apa yang termaktub dalam Perlembagaan apabila melihat perpaduan kita sudah longgar.

Apa yang malangnya, ada di kalangan orang Melayu sendiri yang menyatakan roh Melayu itu tidak lagi relevan. Malah mereka menuntut kesamarataan dan meritokrasi dilaksanakan dengan melupakan keindukan orang Melayu sendiri. Ketiga, soal masa depan apabila di kalangan orang muda berpendidikan tinggi merasakan apa yang mereka perolehi adalah kerana kebolehan bukan kerana dasar kerajaan yang membantu mereka.

Usaha menyatukan orang Melayu bukan perkara baru tetapi perbezaan politik yang menjadi benteng penghalang?
AHMAD ZAHID:
Dari segi politik, orang Melayu terpecah kepada tiga kumpulan iaitu orang Melayu UMNO, orang Melayu Pas dan orang Melayu PKR, ia mungkin terpecah kepada empat kumpulan iaitu orang Melayu yang tidak peduli di bawah parti politik mana pun negara ini diperintah asalkan ia melaksanakan demokrasi. Apabila Melayu terpecah kepada tiga, maka kita mesti mencari jalan bagaimana titik-titik pertemuan harus diadakan bukan hanya untuk menterjemahkan agenda keindukan Melayu tetapi bagaimana Melayu sebelum ini yang menguasai bidang politik dan pentadbiran diperkasakan tanpa meminggirkan bangsa serta agama lain.

Bagaimanapun kita juga berhadapan dengan pendirian sesetengah pemimpin politik yang mahu memusatkan pembahagian kuasa atas nama perubahan sehingga keindukan Melayu tidak lagi menjadi keutamaan.

Namun begitu apa yang perlu difikirkan ialah kalau parti politik berbeza tetapi berasaskan etnik yang sama boleh duduk semeja walaupun secara tidak formal bagi membincangkan agenda mereka, kenapa tidak parti politik Melayu melakukan perkara yang sama tanpa mengenepikan etnik yang lain?

Apa yang dihadapi oleh orang Melayu sekarang adalah isu kritikal sehingga ia mendapat perhatian istana. Malah akibat longgarnya perpaduan di kalangan orang Melayu menyebabkan ia diambil peluang oleh kumpulan lain untuk menyanggah kedudukan orang Melayu di negara sendiri.

Adakah ini berpunca daripada kelemahan UMNO yang dilihat parti induk Melayu?
AHMAD ZAHID:
Bagi saya bukan sekadar kelemahan UMNO tetapi kelemahan dalam institusi Melayu sama ada institusi sosial mahupun politik. Apa pun masih belum terlambat untuk kita memperkukuhkan institusi Melayu sama ada dalam bidang politik mahupun sosial. Pada hemat saya kita perlu duduk lebih informal untuk bukan sekadar mengimbau permasalahan yang sedang dihadapi malah berusaha mengwujudkan perpaduan di kalangan kita. (Komen: Macam mana tidak mahu menerima kenyataan dan mengalih pandang lagi? Kalau UMNO kuat, cekap dan amanah seperti dahulu, parti-parti lain tidak boleh menang dan dakyah-dakyah lain tidak boleh menusuk.)

Siapa yang sepatutnya memainkan peranan bagi menyatukan orang Melayu ini?
AHMAD ZAHID:
Semua pihak, ini kerana perpaduan Melayu tidak boleh lari daripada perpaduan ummah. Cuba kita fikirkan kenapa sekarang ini fatwa mula dipertikaikan? Kenapa tentang hal-hal ibadah orang Islam dicampuri orang lain? Kenapa ada cadangan bahawa zakat perlu diberi kepada bukan Islam? Semua ini wujud kerana terdapat ketidakfahaman di kalangan orang Islam sendiri dan di kalangan bukan Islam terhadap Islam.

Oleh itu saya berpendapat dalam hal-hal berkaitan agama Islam jangan berlaku perbezaan pendapat terutamanya dalam perkara-perkara cabang (furuq).

Saya berterima kasih kepada semua ahli-ahli Parlimen Islam dari UMNO, Pas dan PKR yang telah duduk semeja dengan saya, mufti-mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membincangkan empat enakmen dan rang-rang undang-undang yang akan dibentangkan di Parlimen dan menangani beberapa isu kontemporari. Kami juga bersetuju untuk tidak memanjangkan perbezaan pendapat di Parlimen sebaliknya berbincang sesama sendiri secara tidak formal. Bagi saya ini langkah awal yang akan mewujudkan kesamaan dari segi pendapat.

Ada pandangan bahawa sikap bukan Islam mencampuri urusan orang Islam juga kerana bentuk dakwah yang dijalankan oleh agensi kerajaan tidak berkesan?
AHMAD ZAHID:
Pada saya orang Islam sendiri yang membuka ruang untuk ditembusi oleh orang bukan Islam terhadap soal-soal prinsip terutama hukum hakam dan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Persoalannya kenapa sekarang ia berlaku? Adakah kerana JAKIM atau jabatan agama atau Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia yang bersalah? Malah kita ada IKIM yang berperanan bukan sahaja menjelaskan prinsip Islam kepada bukan Islam tetapi memberikan kefahaman kepada bukan Islam supaya memahami Islam di samping kita memahami isu-isu agama lain. Sebenarnya, soal utama ialah kita membuka ruang untuk menghadapi 'tembakan' daripada orang lain.

Adakah langkah membuka ruang ini berlaku kerana ada pemimpin terlalu inginkan kuasa politik?
AHMAD ZAHID:
Kebarangkalian itu cukup tinggi sebab kadang-kadang kita sebagai pemimpin Islam tidak pun menyanggah pendapat daripada bukan Islam kerana kita mahu menjaga hati walaupun ia bercanggah dengan prinsip Islam.

Bagi saya, dalam soal Islam kita tidak harus berkompromi tetapi ini tidak bermakna kita mahu menidakkan pengaruh dan pembahagian kek ekonomi serta kekuasaan kepada orang bukan Islam. Apatah lagi orang bukan Islam tidak harus khuatir kerana sejarah sudah membuktikan bahawa biarpun orang Melayu terus berkuasa tetapi tidak pernah sekalipun ada catatan bahawa orang bukan Islam terpinggir di dalam struktur sosial Malaysia.

Maknanya dalam soal Islam kita tidak harus berkompromi?
AHMAD ZAHID:
Tidak boleh berkompromi bukan bererti mahu menerjah keluar orang bukan Melayu daripada gelanggang politik dan institusi sosial yang ada, sunnatullah telah menentukan bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk jadi ia mengikut prinsip Islam sama ada golongan minoriti atau bukan Islam mesti dijaga kepentingan mereka seperti mana Perlembagaan Madinah ketika Rasulullah mula mewujudkan pentadbiran Islam pertama di dunia.

Apakah kelantangan bukan Melayu akibat daripada dasar keterbukaan dan ketelusan yang diamalkan oleh kerajaan?
AHMAD ZAHID:
Kebebasan itu ada batasnya. Sebagai rakyat Malaysia apa pun bangsa yang melahirkan kita atau agama yang kita percaya Perlembagaan negara harus dihormati.

Dasar kebebasan yang dibenarkan oleh kepimpinan negara bukan bererti mereka bebas dalam semua hal tanpa menghormati isu-isu sensitif yang menjadi garis panduan agar perpaduan di kalangan orang Melayu dan pelbagai kaum dapat dipertahankan.

Mungkin juga kerana kerajaan tidak tegas dalam bertindak terhadap mereka yang berbuat demikian?
AHMAD ZAHID:
Bagi saya bukan soal ketegasan sahaja, kita sebagai warga negara Malaysia harus faham bahawa di mana langit di pijak di situ langit dijunjung. Pegangan ini harus menjadi sandaran biarpun tanpa penguatkuasaan. Kalau kita mahu mengamalkan demokrasi, sama ada ikut cara Britain atau Amerika Syarikat (AS), ikutlah yang baik. Umpamanya bila Barack Obama menang orang pertama yang menelefon mengucapkan tahniah ialah John McCain. Di Malaysia berbeza, bila seseorang itu menang, lawannya akan berkata tunggu empat lima tahun lagi untuk pilihan raya seterusnya atau pada hari pertama keputusan dikeluarkan sudah mula kempen memburuk-burukkan pihak yang menang. Kelompok itu langsung tidak mahu mengiktiraf kepimpinan yang dipilih oleh rakyat. Saya fikir itu tidak betul dan kita harus belajar apa yang baik yang ada pada Barat. Prinsip Islam dalam menghormati pemimpin dan mengiktiraf kerajaan harus menjadi keutamaan. (Komen: Orang itu kata kerajaan tidak tegas, kamu jawab mereka tidak iktiraf pemimpin. Blur ... Kenapa mereka tidak iktiraf pemimpin yang ada yang kamu "saya sokong".)

Dalam keadaan sekarang, apa yang seharusnya dilakukan oleh UMNO kerana parti itu dilihat semakin lemah?
AHMAD ZAHID:
UMNO adalah tulang belakang kepada komponen BN dan UMNO walaupun sebagai sebuah parti Melayu namun terbukti tidak meminggirkan bangsa dan agama lain. UMNO tidak lemah yang lemah adalah sebahagian daripada kepimpinan sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri atau nasional. Dalam hal ini saya ingin merujuk bukan hanya kepada struktur UMNO sahaja tetapi putaran hayat sesebuah organisasi yang berusia lebih enam dekad. Permasalahan ini bukan berlaku di negara ini sahaja malah juga di India, Britain dan negara lain.

Justeru tugas pemimpin dan ahli UMNO sekarang ialah bagaimana hendak memastikan parti terus relevan kepada seluruh rakyat Malaysia. Dalam soal ini, pemilihan parti pada Mac depan akan menjadi penentu sama ada pemimpin dan ahli UMNO masih mahu berada di takuk lama atau mahu mewujudkan kepimpinan baru yang akan mencari jalan meremajakan UMNO. Peremajaan ini bukanlah mudah, ia harus disusuli dengan beberapa program mantap bagi menangani persoalan dan mengisi agenda Melayu tanpa meminggirkan kaum lain. (Komen: Meremajakan bukan hanya dari segi umur tetapi dari segi pandangan, program, ideologi dan intelek. Adakah kamu akan meremajakan? Apa ide yang telah dimajukan dalam temuramah ini? Tidak ada setakat ini.)

Tetapi kalau dilihat ahli UMNO masih belum sedar tentang cabaran mereka sehingga sanggup mengamalkan politik wang dalam pemilihan?
AHMAD ZAHID:
Kita akui wujud laporan politik wang di dalam UMNO tetapi gejala itu juga berlaku dalam parti-parti lain tetapi bentuknya mungkin berlainan. Bezanya UMNO dengan parti lain ialah media tidak memberi liputan meluas kepada parti lain. Saya yakin wujud masalah dalam kepimpinan Pas, PKR dan DAP, begitu juga komponen BN tetapi tiada liputan yang dibuat. Minat kepada UMNO ini kerana kebetulan ia menjadi tulang belakang parti memerintah. Bagi saya, fokus berhubung gejala negatif ini tidak adil kerana hanya dituding kepada UMNO sahaja. Saya akui ia berlaku tetapi tidaklah seburuk yang digambarkan. Bagi saya, prinsipnya kalau tidak ada pemberi tidak ada penerima, soalnya kenapa ada pemberi? Bila ada orang memberi maka ada menerima dan apabila ada orang lain tidak memberi maka ia akan menjadi mangsa tidak diberi sokongan, ini tidak adil. (Komen: Respons Zahid kepada politik wang begitu defensive; orang lain buat tapi UMNO saja dapat perhatian. Zahid tidak pula mengutuk amalan politik wang. Dia hanya memberi alasan kenapa politik wang berlaku. Dia menyalahkan penerima tidak adil kerana tidak beri sokongan kepada orang yang tidak beri. Adakah dia bermaksud terpaksa beri untuk mendapatkan sokongan? Zahid mendapat sokongan pencalunan kedua tinggi, apakah maknanya!?)

Orang UMNO tidak berubah walaupun ada pindaan terhadap undang-undang politik wang dalam parti
AHMAD ZAHID:
Sebenarnya tata etika atau peraturan atau undang-undang hanya satu alat untuk membendung perkara negatif. Sebenarnya lebih penting adalah diri sendiri. Umpamanya, undang-undang arak di kalangan orang Islam, kalau di luar negara arak ada di depan mata tetapi kalau kita sendiri ada semangat yang kuat untuk tidak minum arak, maka arak itu tidak akan diminum walaupun orang tidak nampak atau tidak ada undang-undang.

Begitu juga peraturan dalam UMNO, peraturan boleh dipinda dan ditambah setiap waktu tetapi kalau kita sendiri tidak mencari ruang kosong untuk bolos daripada peraturan itu siapa lagi yang hendak melakukannya.
(Komen: Kenapa tidak disebut kekangan untuk undang-undang dan tata etika dijalankan dengan tulus dan tanpa sekatan? Mereka yang pernah membuat laporan peranh dipukul di Kubang Pasu. Apa UMNO lakukan?)

Bagaimana hendak 'mengubati penyakit' di kalangan orang UMNO itu?
AHMAD ZAHID:
Kepimpinan harus diserapkan dengan budaya baru, kalau itu tidak dilakukan maka kuasa politik kita akan terhakis, kita hanya boleh memegang jawatan di dalam parti tetapi kita tidak lagi mempunyai kuasa politik sebagai sebuah kerajaan. Mungkin hanya sebahagian yang menyedarinya sebab itu kepimpinan baru UMNO harus turun ke bawah memperjelaskan perkara berkenaan. (Komen: Orang tanya bagaimana, kamu tak kasi jawapan tepat. Cuma setakat serap budaya baru. Itu langkah jangkamasa panjang. Ini hanya lip service. Bukankah ini masa untuk langkah segera dan drastik? Kenapa Zahid tidak memberi jawapan yang ikhlas?)

Tidakkah gejala tersebut menyebabkan imej UMNO tercalar?
AHMAD ZAHID: Imej UMNO tercalar bukan salah orang di luar UMNO, tetapi salah segelintir daripada orang UMNO sendiri yang mengizinkan keburukan itu berlaku. Justeru tanggungjawab kepimpinan dari bawah ke atas ialah menterjemahkan apa yang kita hasratkan supaya tidak berlaku lagi keburukan ini. Semua itu perlu dilakukan melalui tindakan bukan retorik. (Komen: Masaalah UMNO adalah masaalah atas yang menular ke bawah. Kenapa Zahid mahu salahkan orang bawah. Orang atas tidak ada prinsip dan political will untuk melakukan sesuatu. Itu jawabnya sebenar.)

Layakkah Zahid yang hanya memberi alasan dan alih pandang untuk menyelesaikan masaalah parti UMNO? Bagaimana seorang yang tidak mempunyai ide untuk menyelesaikan masaalah dan terbabit memberi masaalah kepada parti boleh diberikan tempat dipucuk kepimpinan teratas parti?