Forum Perdana Ehwal Islam bersiaran di Singapura

Utusan Malaysia, Nov 11hb, 2008

FORUM Perdana Ehwal Islam kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang memenuhi segmen Radio Televisyen Malaysia (RTM) saluran satu pada setiap malam Khamis kini mula melangkaui sempadan negara.

Buat julung kalinya slot keislaman yang mendapat rating tertinggi di kalangan penonton negara ini iaitu 1.3 juta penonton melangkah ke negara jiran Singapura.

Jika sebelum ini, kerjasama, hubungan dan penyiaran televisyen antara Malaysia-Singapura bercorak kepada hiburan dan pertukaran bahan berita, tetapi kali ini ia melibatkan program agama.

Ini selaras dengan usaha memperluaskan usaha dakwah dan mengetengahkan Islam secara keilmuan kepada masyarakat majmuk di negara serantau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program sulung itu akan melibatkan dua rakaman yang bermula pada 8 November lalu.

“Ia membicarakan mengenai dua topik umum yang melibatkan kehidupan sejagat iaitu ‘yang abadi dan selamanya’ serta ‘kemanisan iman’,” katanya.

Rakaman tersebut jelas beliau, berlangsung di Hall 4, Ekspo Singapura. Siarannya dijadual akan dipancarkan di kaca televisyen pada malam ini dan 8 Januari 2009.

Beliau memberitahu demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya dan Agihan Bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Dr. Ahmad Zahid turut menyerahkan bantuan kepada 500 penerima asnaf zakat daripada kutipan Baitulmal MAIWP.

Menurut beliau, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Mohd. Farid Ravi Abdullah dipilih sebagai panel dari Malaysia untuk kedua-dua rakaman segmen berkenaan.

Timbalan Mufti Singapura, Mohd. Fathris K. Bakaram dan ilmuwan Tengku Mohd. Fauzi Tengku Mahit Jumat pula adalah panel negara tuan rumah.

Katanya, forum itu dipengerusikan oleh pegawai Jabatan Agama Islam Johor, Syahrin Md. Jamaluddin manakala Mohammad Hafiz Hamidun sebagai perantara.

“Untuk menyerikan lagi siri rakaman berkenaan, Mohamed Hafiz yang juga penyanyi nasyid akan mempersembahkan beberapa lagu sebagai halwa telinga dan hiburan pengunjung,” jelasnya.

Usahasama terbaru yang mempelopori siri dakwah Islamiah melalui kaca televisyen serantau itu juga tambah Dr. Ahmad Zahid, turut menjadi wadah bagi mengeratkan lagi hubungan kalangan negara berjiran.