Mengapa Zahid mendahului tuhan?


Dalam Sinar Harian tersebut, Zahid Hamidi dilaporkan bertanya, "... berapa kali dia sembahyang Jumaat selama ini."

Ramai dari kita mungkin tidak suka kepada Raja Petra yang menulis pelbagai pendapat mengenai Islam yang telah menaikkan kemarahan kita. Perbuatannya tentu sekali tidak patut. Ada yang tidak setuju dengan tuduhan-tuduhan melulu yang dibuat oleh Raja Petra terhadap Dato Seri Mohd Najib.

Walau bagaimana kita benci dengan pandangan, kelakuan dan cara hidupnya, kita tidak ada hak untuk mempersoalkan keimanan dan keislamannya. Itu adalah hak Allah.

Raja Petra mempersoalkan pihak yang bertanggungjawab kenapa tahanan ISA tidak dibenarkan sembahyang Jumaat. Katanya, ramai tahanan adalah orang-orang Islam.

Jawapan Menteri "Ugama" kita hanyalah solat Jumaat sememang tidak diizinkan bagi tahanan ISA dan janganlah sesiapa memberi alasan untuk mempertikaikannya. Sehubungan dengan itu, Zahid mempersoalkan amalan ibadah Raja Petra.

Mungkin persoalan Raja Petra itu mempunyai niat politik, tetapi zahirnya tidak. Persoalanya itu lebih merupakan persoalan peraturan. Sepatutnya Zahid tidak perlu menjawab perkara yang melibatkan urusan Kementeriaan Dalam Negeri.

Oleh sebab, Zahid telah melayan soalan wartawan, dia tidak sesuai mengetepikan soalan dengan berkata jangan cari alasan. Sebagai Menteri "Ugama", dia harus mempunyai jawapan dari sudut agama dengan tujuan memberi penerangan mengenai hukum dan amalan. Jika dia tidak tahu jawapannya, dia harus mengikut amalan untuk merujuk kepada mereka-mereka yang ahli dan arif.

Bagi Zahid mempersoalkan mengenai amalan ibadah seseorang, itu amat tidak patut sekali. Itu adalah urusan seorang insan dengan tuhannya.

Jawapan yang beliau berikan benar-benar menjatuhkan martabat jawatan yang dipegangnya itu. Tidak pernah kita mempunyai Menteri "Ugama" yang menjawab soalan dengan begitu kasar dan keras sekali.

Adakah disebalik senyuman dan kemesraan Zahid Hamidi, ini adalah sikap dan kelakuannya yang sebenar?

Amir Bazli pasti ada sesuatu yang ingin dikongsi. Tunggu posting akan datang.