Kerajaan Perak arah Kemas kosong premis Tadika?

13,000 murid tadika terjejas

Oleh AZMI ABDUL MALEK
Mingguan Malaysia Januari 4hb, 2009

BAGAN DATOH 3 Jan. - Kira-kira 13,000 murid tadika di negeri ini mungkin terjejas pembelajaran mereka ekoran tindakan kerajaan negeri Perak mengarahkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengosongkan 700 premis tadika milik agensi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa pegawai Kemas mendakwa mereka telah diarahkan oleh Pejabat Daerah supaya menyerahkan kunci dewan orang ramai dan pejabat Kemas kepada kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, sesetengah Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Persekutuan (JKKP) telah menyerahkan kunci premis berkenaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Negeri (JKKKN) kerana tidak mahu bertengkar dengan mereka.

"Bagaimanapun masih ada pegawai Kemas yang belum menyerahkan kunci berkenaan kerana mempertahankan hak masing-masing.

"Kerajaan Perak tidak berhak mengguna dan mengendalikan program dalam bangunan yang dibina sendiri oleh Kerajaan Pusat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mesra Rakyat dan Sukaneka anjuran Kemas Negeri Perak di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kakitangan dan guru Kemas di negeri ini berhak mempertahankan kepentingan 13,000 kanak-kanak yang seharusnya mendapat pendidikan awal apabila sesi persekolahan bermula Isnin ini.

Beliau kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang menidakkan hak anak-anak penduduk miskin di negeri ini untuk menerima pendidikan awal.

Sehubungan itu, beliau meminta kakitangan Kemas meneruskan program mereka walaupun dipaksa keluar daripada premis berkenaan.

"Saya juga meminta kerajaan negeri menarik balik arahan yang boleh merugikan masyarakat itu," tegasnya.

Menurutnya, adalah tidak wajar kanak-kanak prasekolah menjadi mangsa akibat keangkuhan dan permainan politik pihak tertentu di negeri ini.

KOMEN: Jika demikian sikap kerajaan Perak, ini tentu sekali menyedihkan. Amat tidak bertanggungjawab atas kerajaan Perak melakukan sedemikian pada hari sekolah akan buka besok. Tentu pengundi akan marah dengan pihak kerajaan.

Harap benar apa yang dikatakan Zahid itu bukan pembohongan politik dan fitnah.