Syor boikot barang AS ke Kabinet

Utusan Malaysia, January 5, 2009

Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Cadangan memboikot barang-barang dari Amerika Syarikat (AS) dan menubuhkan pasukan pengaman Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan dibentangkan ke Kabinet Rabu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, beliau akan membentangkan cadangan berkenaan sebagai langkah untuk rakyat negara ini membantah serangan berterusan Israel terhadap Palestin yang mendapat sokongan AS.

”Negara-negara Islam perlu bertindak secara terancang dan pertubuhan yang ada untuk mengetuai perkara ini ialah OIC agar tindakan yang akan dilaksanakan lebih bersatu.

”OIC perlu bersatu dengan negara-negara anggota, bukan setakat memboikot barang-barang dari Israel tetapi juga memboikot barang yang dikeluarkan oleh syarikat antarabangsa Yahudi di AS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Ade Nasution (ANC) yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Perwakilan Indonesia (DRP) Ade Daud Iswandi Nasution yang merupakan calon Parti Amanat Nasional (PAN) bagi kawasan Jakarta Selatan, Jakarta Pusat dan Luar Negara di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas cadangan Pengerusi Yayasan Anti Peperangan Kuala Lumpur, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar diadakan usaha memboikot AS secara terancang dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia.

Pusat ANC merupakan pusat kegiatan Ade di Malaysia yang menguruskan kerja-kerja publisiti, menyediakan kemudahan kepada rakyat Indonesia untuk memeriksa status sama ada layak mengundi atau tidak pada pilihan raya umum Indonesia (Pemilu) 2009 pada 9 April ini.

Pusat itu juga berperanan meningkatkan kesedaran kepada 950,000 warga Indonesia yang layak mengundi di Malaysia pada Pemilu 2009.

Ahmad Zahid memberitahu, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengenai perkara itu memandangkan Rais sedang menghadiri Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif OIC di Pejabat Sekretariat Agung OIC di Jeddah, Arab Saudi.

Tegasnya, OIC perlu mengadakan sidang kemuncak bagi membincangkan tindakan yang perlu dilakukan oleh pertubuhan itu dan Malaysia perlu mengemukakan cadangan tersebut untuk dipersetujui oleh semua negara-negara Islam.

Jelas beliau, penubuhan tentera pengaman OIC di bawah panji pertubuhan itu wajar dilaksanakan memandangkan tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak berkesan masalah peperangan di sesebuah negara.

”Sudah tiba masanya OIC mengerakkan tentera pengaman di negara-negara Islam yang telah diceroboh oleh tentera asing ataupun berlaku perang saudara agar ia dapat diselesaikan.

”Kalau Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) boleh melakukan pekara itu mengapa OIC tidak boleh menubuhkan tentera pengaman sendiri,” katanya.

Kata beliau, pemboikotan barang-barang dari AS dan pembentukan tentera pengaman OIC ini juga telah disuarakan oleh pertubuhan bukan kerajaan Islam di negara ini.

Sementara Ade Nasution yang merupakan Ketua Kaukus Indonesia-AS bersetuju agar usaha memboikot barang-barang dari AS itu diketuai oleh OIC.

Katanya, beliau juga bersetuju dengan penubuhan tentera pengaman OIC dan menegaskan Indonesia akan menyokong saranan tersebut.

”OIC perlu memperkukuhkan perpaduan dan tidak mengikut telunjuk AS,” katanya.

Beliau juga meminta umat Islam agar tidak terlalu berharap dengan Barack Obama kerana bakal Presiden AS itu sentiasa memihak kepada orang Yahudi.

Tegasnya, beliau percaya kemenangan Obama merupakan satu konspirasi Yahudi untuk memusnahkan orang Islam.