Sabtu, 10 Januari 2009

Memeranjatkan! Video Temuramah Penuh Amir Bazli


Jika anda telah membaca Pendedahan Jenayah Ahmad Zahid Hamidi Bhg. 1 dan Bhg. 2 di blog ini, dengar sendiri video pengakuan Amir Bazli yang diperolehi bersama risalah Pendedahan Jenayah Ahmad Zahid yang telah tersebar.

Sementara kita sedang cuba untuk menayangkan video itu terus menerus di sini, anda boleh mendengar sendiri di blog AMK Bagan Datoh sini.

Inilah video dalam risalah yang mendedahkan salahlaku jenayah Dr Ahmad Zahid Hamidi yang cuba dinafi dan disembunyikan.

Melalui pengaruhnya sebagai Timbalan Menteri, beliau telah mendapat kerjasama "pihak tertentu" supaya kes beliau tidak diteruskan penyiasatan. Berita di media perdana dan tabloid politik pun sudah henti memberi liputan.

Dengan pihak Pendakwa Raya di Shah Alam lambat membuat sebarang dakwaan mahkamah dan media seolah-olah bersekongkol, kini Amir Bazli sedang mendapatkan keadilan melalui saman sivil terhadap Dato Ahmad Zahid Hamidi.

Ini juga cara OJ Simpson, seorang ahli sukan Amerika yang lepas dari dakwaan kes pembunuhan tetapi kalah semasa saman sivil dari keluarga bekas isterinya yang akhirnya menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya.

Rabu, 7 Januari 2009

Syor boikot barang AS ke Kabinet

Utusan Malaysia, January 5, 2009

Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Cadangan memboikot barang-barang dari Amerika Syarikat (AS) dan menubuhkan pasukan pengaman Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan dibentangkan ke Kabinet Rabu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, beliau akan membentangkan cadangan berkenaan sebagai langkah untuk rakyat negara ini membantah serangan berterusan Israel terhadap Palestin yang mendapat sokongan AS.

”Negara-negara Islam perlu bertindak secara terancang dan pertubuhan yang ada untuk mengetuai perkara ini ialah OIC agar tindakan yang akan dilaksanakan lebih bersatu.

”OIC perlu bersatu dengan negara-negara anggota, bukan setakat memboikot barang-barang dari Israel tetapi juga memboikot barang yang dikeluarkan oleh syarikat antarabangsa Yahudi di AS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Ade Nasution (ANC) yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Perwakilan Indonesia (DRP) Ade Daud Iswandi Nasution yang merupakan calon Parti Amanat Nasional (PAN) bagi kawasan Jakarta Selatan, Jakarta Pusat dan Luar Negara di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas cadangan Pengerusi Yayasan Anti Peperangan Kuala Lumpur, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar diadakan usaha memboikot AS secara terancang dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia.

Pusat ANC merupakan pusat kegiatan Ade di Malaysia yang menguruskan kerja-kerja publisiti, menyediakan kemudahan kepada rakyat Indonesia untuk memeriksa status sama ada layak mengundi atau tidak pada pilihan raya umum Indonesia (Pemilu) 2009 pada 9 April ini.

Pusat itu juga berperanan meningkatkan kesedaran kepada 950,000 warga Indonesia yang layak mengundi di Malaysia pada Pemilu 2009.

Ahmad Zahid memberitahu, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengenai perkara itu memandangkan Rais sedang menghadiri Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif OIC di Pejabat Sekretariat Agung OIC di Jeddah, Arab Saudi.

Tegasnya, OIC perlu mengadakan sidang kemuncak bagi membincangkan tindakan yang perlu dilakukan oleh pertubuhan itu dan Malaysia perlu mengemukakan cadangan tersebut untuk dipersetujui oleh semua negara-negara Islam.

Jelas beliau, penubuhan tentera pengaman OIC di bawah panji pertubuhan itu wajar dilaksanakan memandangkan tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak berkesan masalah peperangan di sesebuah negara.

”Sudah tiba masanya OIC mengerakkan tentera pengaman di negara-negara Islam yang telah diceroboh oleh tentera asing ataupun berlaku perang saudara agar ia dapat diselesaikan.

”Kalau Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) boleh melakukan pekara itu mengapa OIC tidak boleh menubuhkan tentera pengaman sendiri,” katanya.

Kata beliau, pemboikotan barang-barang dari AS dan pembentukan tentera pengaman OIC ini juga telah disuarakan oleh pertubuhan bukan kerajaan Islam di negara ini.

Sementara Ade Nasution yang merupakan Ketua Kaukus Indonesia-AS bersetuju agar usaha memboikot barang-barang dari AS itu diketuai oleh OIC.

Katanya, beliau juga bersetuju dengan penubuhan tentera pengaman OIC dan menegaskan Indonesia akan menyokong saranan tersebut.

”OIC perlu memperkukuhkan perpaduan dan tidak mengikut telunjuk AS,” katanya.

Beliau juga meminta umat Islam agar tidak terlalu berharap dengan Barack Obama kerana bakal Presiden AS itu sentiasa memihak kepada orang Yahudi.

Tegasnya, beliau percaya kemenangan Obama merupakan satu konspirasi Yahudi untuk memusnahkan orang Islam.

Selasa, 6 Januari 2009

Conrad Mojuntin dihukum penjara lapan bulan

Utusan Malaysia, Januari 3hb, 2009

KOTA KINABALU 2 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM2,000 ke atas bekas bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Conrad Mojuntin setelah disabitkan dengan dua kesalahan.

Bagi kesalahan pertama, Conrad dihukum penjara enam bulan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mencederakan pemilik SJD Cafe & Sport, Doughty Disimon, 32, pada kira-kira pukul 3.30 pagi 23 Oktober 2005 di luar kafe berkenaan di Pekan Donggongon, Penampang.

Conrad didenda RM2,000 atau penjara dua bulan bagi kesalahan kedua di bawah seksyen yang sama yang didakwa dilakukan bersama-sama anak saudaranya, David Majuntin, 45, kerana menyebabkan kecederaan terhadap Chee He Fatt, 47, pada kira-kira pukul 4 pagi 23 Oktober 2005 di belakang Public Bank, Pekan Donggongon, Penampang.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli membenarkan dia membuat rayuan dan sementara menunggu proses itu, Conrad dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin.

Conrad diwakili peguam bela, Zahir Shah manakala pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Salim Soib.

Komen: Merujuk kembali kepada Pendedahan Jenayah Ahmad Zahid Hamidi II, Datok Ahmad Zahid Hamidi, anak, menantu dan 'geng-geng'nya telah disebut dalam laporan dalam laporan polis Amir Bazli telah menyebut kata-kata ugut dan mencederakannya.

Kalau polis tidak sembunyikan kes sebagai NFA (No Further Action) dan boleh disahkan mahkamah, bukankah nasib yang sama seperti bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Conrad Mojuntin akan menimpa Zahid dan accomplice bersamanya?

Dibuatnya dia menang dan mahkamah sahkan, bukankah Zahid akan membawa malu kepada UMNO? Sudahlah UMNO perlu membetulkan organisasinya termasuk memperbaiki imejnya. Bukankah merendahkan martabat jawatan Menteri JPM Hal Ehwal Ugama, jika ianya berlaku kepada Zahid?

Ahad, 4 Januari 2009

Kerajaan Perak arah Kemas kosong premis Tadika?

13,000 murid tadika terjejas

Oleh AZMI ABDUL MALEK
Mingguan Malaysia Januari 4hb, 2009

BAGAN DATOH 3 Jan. - Kira-kira 13,000 murid tadika di negeri ini mungkin terjejas pembelajaran mereka ekoran tindakan kerajaan negeri Perak mengarahkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengosongkan 700 premis tadika milik agensi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa pegawai Kemas mendakwa mereka telah diarahkan oleh Pejabat Daerah supaya menyerahkan kunci dewan orang ramai dan pejabat Kemas kepada kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, sesetengah Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Persekutuan (JKKP) telah menyerahkan kunci premis berkenaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Negeri (JKKKN) kerana tidak mahu bertengkar dengan mereka.

"Bagaimanapun masih ada pegawai Kemas yang belum menyerahkan kunci berkenaan kerana mempertahankan hak masing-masing.

"Kerajaan Perak tidak berhak mengguna dan mengendalikan program dalam bangunan yang dibina sendiri oleh Kerajaan Pusat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mesra Rakyat dan Sukaneka anjuran Kemas Negeri Perak di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kakitangan dan guru Kemas di negeri ini berhak mempertahankan kepentingan 13,000 kanak-kanak yang seharusnya mendapat pendidikan awal apabila sesi persekolahan bermula Isnin ini.

Beliau kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang menidakkan hak anak-anak penduduk miskin di negeri ini untuk menerima pendidikan awal.

Sehubungan itu, beliau meminta kakitangan Kemas meneruskan program mereka walaupun dipaksa keluar daripada premis berkenaan.

"Saya juga meminta kerajaan negeri menarik balik arahan yang boleh merugikan masyarakat itu," tegasnya.

Menurutnya, adalah tidak wajar kanak-kanak prasekolah menjadi mangsa akibat keangkuhan dan permainan politik pihak tertentu di negeri ini.

KOMEN: Jika demikian sikap kerajaan Perak, ini tentu sekali menyedihkan. Amat tidak bertanggungjawab atas kerajaan Perak melakukan sedemikian pada hari sekolah akan buka besok. Tentu pengundi akan marah dengan pihak kerajaan.

Harap benar apa yang dikatakan Zahid itu bukan pembohongan politik dan fitnah.

Khamis, 1 Januari 2009

Wanita mangsa fitnah blog hina nabi dipersalahkan?


Wanita yang dipercayai mangsa fitnah oleh pengusaha blog hina nabi dipersalahkan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri, Dato Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Zahid, wanita yang telah menafi mengusahakan blog tersebut dan melakukan tindakan yang wajar seharus dipertanggungjawabkan. Katanya lagi, wanita yang nama dan gambarnya telah dipampang oleh pengusaha blog tidak seharusnya menyalahkan orang lain kerana sepatutnya "bertindak lebih segera" dan "memantau blognya sendiri".

Isu blog yang menghina nabi ini mendapat perhatian ramai hasil usaha sekumpulan blogger Melayu yang terjumpa blog tersebut dan mengambil beberapa tindakan. Di dalam blog tersebut, terpampang kononnya nama dan gambar seorang wanita Melayu dan Islam bernama Adibah sebagai empunya.

Mereka telah berkempen dan menyebarkan perihal blog yang menghina junjungan. Difahami satu laporan polis telah dibuat oleh Pergerakkan Pemuda UMNO Maran, Pahang. Apabila sudah merebak diketahui blogosphera, wanita berkenaan telah tampil bertemu Menteri Penerangan, Dato Shabery Chik pada dua minggu lalu untuk menafikan.

Menurut wanita yang berjawatan akauntan ini, blog itu telah wujud selama beberapa bulan dan telah melaporkan perkara ini kepada polis dan suruhanjaya multimedia. Wanita itu memohon bantuan RTM membersihkan namanya

Perkara ini diberitahu Dato Shabery kepada akhbar pada Sabtu Disember 27hb lepas dan pihak RTM telah lakukan yang wajar. Menurut Dato Shabery, beliau yakin blog ini di bangunkan untuk memburukkan nama wanita ini dan majikannya.

Pada hari yang sama, Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi reaksi. Menurutnya, adalah perbuatan yang tidak baik bagi mana-mana ugama menghina ugama lain. Semua penganut ugama seharusnya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai satu masyarakat yang aman dan harmoni.

Beliau telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Syed Hamid Albar supaya bertindak segera menghentikan perkara ini dari terus berleluasa.

Ekoran dari kehebuhan perkara ini yang mendapat reaksi beberapa pihak berkuasa ugama negeri sambutan Maal Hijrah, akhbar melaporkan wanita tersebut telah ditahan polis untuk membantu penyiasatan kes yang melibatkan Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

Setakat semalam, penyiasatan polis dilaporkan telah mengenalpasti mereka-mereka yang terlibat.

Kelambatan tindakan dari pihak yang berkuasa menerima teguran dari Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, YB Lim Kit Siang. Pihak polis, RTM and Suruhanjaya Multimedia dianggap bertindak sambil lewa kepada laporan yang telah lama dibuat oleh mangsa fitnah ini.

Anih sekali kenyataan Zahid.

Apa lagi tindakan segera yang tidak dilakukan oleh wanita ini? Apa yang dimaksudkan sebagai usah menyalahkan orang lain? Kenyataan polis sudah pastikan mempunyai suspek dan blog ini beroperasi dari luar negara. Jika bukan wanita ini pengusaha blog tersebut, bagaimana dia dipertanggungjawabkan?

Namun demikian, usah dengar cakap saya. Mungkin saya ada niat tidak baik konon untuk menjatuhkan kerjaya politiknya. Bagaimana pula pemblog lain seperti James Ooi, Shar101, dan HS & SC yang menyedari perkara yang sama? Jangan pula keterlaluan untuk mempersoalkan PhD yang diperolehi.

Maafkanlah Zahid. Dia sedang keliru hingga terkeluar logik yang sama seperti si mangsa, Amir Bazli bersalah memukul diri sendiri dengan teruk untuk memalukan dirinya?