Zahid Si Lalang Sindir Anwar Pulak?

Tranung kite.Dotcom

Tergamak Zahid Hamidi menyindir Anwar

MIN AINA ILA AINA

Oleh Subky Latif

DATO' Zahid Hamidi, Anggota Parlimen Bagan Datoh menyanggah panjang lebar dalam sikap anti pembangkangnya teristimewa Belanjawan BA 2002 yang disampaikan oleh Ketua Pembangkang di Parlimen.

Pandangan Zahid itu terpapar di akhbar, dipercayai adalah hujahnya membahaskan Bajet 2002 yang kerajaan bentangkan. Zahid akhir-akhir ini jarang menulis. Jadi apa istimewanya ucapan Zahid disiarkan penuh? Selain dari ucapannya, hanya ucapan Menteri Kewangan saja yang disiarkan penuh.

Seperti Anggota Parlimen BN lain, Zahid Hamidi ada hujah, tetapi hujahnya disiarkan penuh.

Bagi Zahid, Ketua Pembangkang kerana sifatnya pembangkang sengaja menghuduhkan apa saja yang kerajaan buat, tidak kira baik atau sebaliknya. Ertinya pembangkang di Malaysia ini tidak bernilai.

Logiknya, Zahid Hamidi membela bajet Dr. Mahathir bukan kerana dia penyokong BN, tetapi dia adalah rasional. Jika diandaikan Zahid jadi pembangkang dia adalah berbeza dengan Dato' Fadzil Noor, Tuan Guru Haji Hadi Awang dan Dr. Wan Azizah Ismail. Lebih dari itu beliau tidak juga seperti Anwar Ibrahim.

Belanjawan BA itu adalah disepakati oleh pemimpin-pemimpin BA. Dasar BA adalah mencerminkan dasar Anwar Ibrahim juga. Dan apakah Anwar tidak mengetahui apa yang dibentangkan oleh Ketua Pembangkang?

Yang jelas isteri Anwar bertanggungjawab sama atas belanjawan BA itu. Isteri Anwar adalah ganti galang Anwar.

Kata Zahid, Ketua Pembangkang patut didakwa jika ada kes, mengikut OSA kerana rangka belanjawan pembangkang itu dikatakan dibuat atas maklumat pegawai kerajaan. Ada kemungkinan ia melanggar OSA.

Jika ditakdirkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi didapati bersalah, maka beliau dipenjarakan. Maka senasiblah dia dengan Anwar.

Senangkah Zahid jika ketua pembangkang berada bersebelahan dengan bilik Anwar? Jika ada yang senang dengan ketua pembangkang menerima nasib itu, maka senang jugakah mereka itu dengan memenjarakan Anwar?

Sekian ramai orang yang berketuakan Anwar. Antara mereka terkenal dan berpangkat ialah ditakdirkan kerana Anwar juga. Mereka menyokongnya dan ada mereka yang fanatik dengannya.

Zahid berada dalam politik yang terkenal secara mendadak dan kaya raya ada hubungannya kerana menjadi orang Anwar. Terpelanting dari Ketua Pemuda UMNO pun kerana dipercayai orang Anwar. Dan perang terbuka antara Anwar dan Dr. Mahathir pun adalah atas ucapan terbuka Zahid yang mengecam pimpinan kerajaan mengamalkan kroni, korupsi dan nepotisma. Ketika itu dia adalah ketua Pemuda UMNO.

Zahid menjadi mangsa kekejaman ISA beberapa minggu pun kerana dia adalah orang Anwar. Memang orang yang pernah menjadi orang Anwar dan yang fanatik dengan Anwar menghadapi kepayahan. Tetapi itulah risiko dalam perjuangan apabila seseorang itu berjuang bersama-sama dengan orang seperti Anwar.

Sehuduh-huduh Hang Jebat mati mempertahankan Hang Tuah dan sampai mati di tangan Hang Tuah kerana setiakan Hang Tuah. Agaknya bodoh jadi macam Hang Jebat?

Antara yang setiakawan dengan Anwar dulu dipercayai masih bersama Anwar walaupun dilihat bersama Dr. Mahathir. Lain di mata lain di hati, lain di dalam lain di luar.

Tetapi yang di dalam menderita; makankah tak makankah; kesakitankah; terpisah dengan anak dan isteri; terhina dan kesunyian. Lebih dari itu adalah penderitaannya atas orang yang menjadi orang-orangnya kini bersama-sama ceria dengan orang yang melemparnya ke penjara.

Zahid logiknya rasional membela bajet dan kerajaan; dia menyelar BA dengan belanjawannya. Tidakkah secara rasional tadi Zahid sudah menyindir Anwar? Anwar tidak terlepas langsung dari belanjawan Ustaz Hadi.

Saya tidak rapat dengan Anwar dan tidak pula jauh dengannya. Saya lalu makan, Anwar belum tentu lalu makan. Saya dapat bersama anak dan isteri, Anwar tidak dapat bersama anak dan isteri. Kadang-kadang tengah makan teringat Anwar, saya makan juga tetapi dapatkah Anwar makan macam saya.

Kadang-kadang ketika riang bersama anak dan isteri teringatkan Anwar yang terpisah dari anak dan isteri. Dia tidak mamcam saya masa itu. Saya tidak rapat dengannya tetapi tidak jauh.

Bagaimana orang yang sentiasa bersama Anwar? Lalukah mereka makan ketika Anwar tidak dipastikan lalu makan atau tidak lalu makan. Mereka makan di gedung dan di restoran, Anwar makan sendirian di penjara. Lalukah mereka makan?

Makanlah! Tetapi tergamakkah mereka menyindir Anwar?

Memadai dalam tulisan ini saya tidak menghujah hujah-hujah Zahid dalam akhbar anti pembangkang itu, saya cuma menghujah sikapnya. Biarlah hujahnya itu diucapkan oleh orang lain.