Ada yang nak ‘tembak’ Zahid Hamidi dengan buku dan VCD…

Agendadaily Mei 03 2008

Pendedahan Jenayah Ahmad Zahidi Hamidi itulah tajuk buku yang dikesan sedang diedarkan secara percuma kebelakangan ini.


Buku yang diterbitkan atas nama Anak Kelantan Prihatin itu memuatkan dakwaan seorang lelaki bernama Amir Bazli Abdullah yang didakwa dipukul oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sehingga menyebabkan kecederaan kekal di wajahnya.




Kejadian itu berlaku di Country Height,Kajang pada 16 Januari 2006. Laporan mengenainya pernah keluar dalam beberapa buah akhbar dan internet.

Waktu kejadian itu Zahid ialah Timbalan Menteri Penerangan.

Selain Zahid semasa kejadian itu ada beberapa orang lain termasuk anak lelaki dan menantu beliau.

Wartawan Agendadaily mendapat satu naskah buku itu pada malam berlangsung mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di tingkat 38 PWTC Selasa lalu.

Sewaktu berjalan menuju ke menara Dato Onn di mana terletaknya ibupejabat UMNO seorang rakan menunjukkan sampul surat berisi sebuah buku kecil dan sekeping VCD.

Katanya ada orang yang letak sebilangan naskah buku dan VCD dekat sebuah tangga di bangunan itu.

Ikut ceritanya ia ditemui pada hari berlangsung mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di situ petang Isnin.

Ini adalah taktik biasa mereka yang nak sebarkan bahan-bahan seperti itu.

Berdasarkan dakwaan Amir Bazli dalam rakaman yang dipaparkan dalam VCD itu insiden dia dipukul itu berpunca daripada hubungan cintanya dengan anak Zahid bernama Nuruhidayah yang tidak direstui.

Difahamkan waktu itu Nuruhidayah masih bersuami.Namun rumahtangga mereka dikatakan menjadi tegang ekoran hubungan itu.

Berdasarkan cerita yang dipaparkan, Amir Bazli memberikan perincian peristiwa yang berlaku bermula dengan perkenalannya dengan Nurulhidayah sehinggalah kepada insiden beliau didakwa menculik Nurulhidayah dan anaknya.

Untuk rekod, Amir Bazli pernah menjadi anggota konvoi motosikal besar yang diketuai oleh Zahid dan gambar mereka berdua dimuatkan dalam buku berkenaan.

Bagi menguatkan dakwaannya, Amir Bazli memuatkan beberapa dokumen seperti laporan polis, laporan perubatan Hospital USM Kubang Kerian, surat menyurat dengan pihak polis dan pejabat Peguam Negara, afidavit penafian Zahid, serta bukti penyewaan rumah tempat beliau didakwa mengurung Nurulhidayah yang dokumen penyewaan itu ditandatangani oleh Nurulhidayah sendiri sebagai saksi.

Selain itu, buku tersebut turut memuatkan gambar-gambar Amir Bazali dengan Nurulhidayah dan anaknya (cucu Zahid) semasa mereka berada di Kelantan sebagai menguatkan hujahnya menafikan Nurulhidayah diculik olehnya dan dilarikan ke Kelantan.

Antara gambarnya menunjukkan Amir Bazli sedang bermain dalam kolam renang dengan anak Nurulhidayah.

Gambar yang disiarkan dalam buku berkenaan agak berkualiti kerana cetakan buku itu dan VCD berkenaan adalah berkualiti tinggi. Ia bukan jenis cetakan fotokopi yang kebiasaannya oleh mereka yang mengedar surat layang.

Secara keseluruhannya, buku tersebut selain penuh dengan dakwaan tentang apa yang berlaku ialah untuk meminta pihak yang berkuasa untuk memberikan keadilan kepada Amir Bazli.

Kesimpulan yang boleh dibuat ia satu usaha terancang dan sasarannya ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu.

Malah sebelum pilihanraya umum baru ini timbul cakap-cakap karier politik Zahid mungkin terjejas kerana insiden berkenaan.

Namun ia meleset.Beliau bertanding semula di kerusi parlimen Bagan Datoh dan kemudiannya dilantik pula sebagai menteri.

Soalnya kenapa sekarang tiba-tiba ada usaha pihak tertentu untuk ' tembak' Zahid mengunakan buku dan VCD insiden itu?

Zahid nampak tenang saja ketika Agendadaily kebetulan bersua dengannya dekat pintu masuk bangunan Parlimen pagi Rabu sebelum sidang Dewan Rakyat hari pertama bermula.

"Apa cerita ni?,"katanya secara berjenaka ketika merujuk kepada laporan ringkas Agendadaily bertajuk "Buku Jenayah Menteri" yang disiarkan hari itu yang telah dibacanya.

Lepas itu dengan nada yang lebih serius menteri itu mengakui beliau sudah tahu mengenai pengedaran buku dan VCD itu.

"Ini semua cerita lama… polis dah siasat …tujuh orang anggota polis datang ambil keterangan dari saya.Dalam parlimen pun pernah dibangkitkan.Ada suratkhabar yang dah laporkannya.

"Sekarang dah tak ada apa…. bagi saya ia bermotif politik.Saya dilantik menteri dan kemudiannya ada orang cakap saya nak bertanding Naib Presiden UMNO…mulanya semua ini keluar balik,"katanya.

Menjawab satu soalan Zahid berkata Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tahu mengenai kes itu.

Kepada soalan lain beliau mengakui berada di tempat kejadian dimana Ahmad Bazli mendakwa dia dipukul.


Zahid menjelaskan kes itu melibatkan banyak hal-hal tidak dapat diceritakannya kerana ia terlalu peribadi.

"Bagaimana saya nak ceritakan supaya semua orang faham sedangkan banyak yang tidak dapat saya ceritakan kepada umum,"katanya.

Beliau seterusnya bertanya, "cuba bayangkan saudara ada anak perempuan yang berdepan dengan keadaan itu.Ada hal yang kita boleh ceritakan kepada umum dan ada yang memang kita tak boleh.Masalahnya bila gambaran sebenar tidak dapat diberi orang boleh putarbelitkan macam-macam cara."

Menurut Zahid sebelum ini ada kalangan rakan politik termasuk ahli parlimen yang bertanya sendiri kepada beliau mengenai kes itu.

"Selepas saya jelaskan keadaan sebenarnya… mereka baru faham,"katanya.

Zahid juga beritahu kepada Agendadaily secara off the record beberapa hal mengenainya untuk menjelaskan apa yang dimaksudkannya sebagai terlalu peribadi itu.-