Dari blog Pahit Manis
APAKAH yang membuat Datuk Ahmad Zahid Hamidi, MP Bagon Datoh dan ahli Majlis Tertinggi Umno, mengubah fikiran dari mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden kepada Naib Presiden?
Yang tersurat memang jelas. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menyatakan bahawa beliau menarik balik hasrat bertanding jawatan nombor dua demi 'kepentingan dan perpaduan parti.'
Yang kita semua ingin tahu ialah yang tersirat. Apakah penarikan itu hasil pertemuan empat mata antara beliau dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak awal minggu ini? Atau apakah pengumuman awal itu semata-mata untuk mendapat perhatian ahli parti dan mereka yang akan mengundi di pemilihan parti di perhimpunan Mac depan?
Apapun, pengumuman Zahid itu sedikit sebanyak mengurangkan 'pening kepala' perwakilan, terutama di mesyuarat agung bahagian yang bermula hari ini (Khamis). Mungkin ada yang membuat kesimpulan bahawa Zahid menarik balik keputusannya setelah sedar bahawa kemenangan bukan automatik.
Dalam pergelutan untuk jawatan timbalan presiden, setakat ini Datuk Wira Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib adalah dua pembesar Umno yang menawarkan diri untuk bertanding.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menyatakan hasrat yang sama esok dalam sidang akhbar khas di Putrajaya.
Mohd Ali, Ketua Menteri Melaka dan salah seorang penyandang jawatan Naib Presiden, yakin boleh menang atas popularitinya yang memang susah ditandingi. Namun, populariti sahaja belum tentu boleh memberi kemenangan untuk jawatan kedua terpenting dalam parti, dan seterusnya, dalam kerajaan.
Begitu juga dengan Muhammad Taib, Mike Tyson Umno ini. Sejarah hitamnya akan menghantui orang kuat Umno ini. Ketua Penerangan Umno ini memerlukan 'satu keajaiban politik' jika mahu menang dalam pertandingan ini.
Pemerhati politik tanahair tahu bahawa keajaiban atau 'miracle' bukanlah satu perkara yang sukar ditempah. Tidak ada yang mustahil dalam politik. Ini jugalah yang menjadi pegangan Tengku Razaleigh Hamzah, MP Gua Musang, seorang gergasi dalam politik Umno dan tanahair.
Jika Ku Li mendapat cukup pencalonan, bekas Bendahari Umno ini akan berdepan dengan Mohd Najib, anak bangsawan Umno yang bakal dinobatkan sebagai Perdana Menteri Mac ini (jika dia lulus ujian pemilihan parti).
Dalam sejarah Umno Baru, pemilihan Mac ini adalah satu-satunya yang boleh disifatkan sebagai pemangkin kepada apa juga reformasi yang perlu dibuat untuk memastikan parti itu terus relevan dalam landskap politik tanahair.
Kita lihat juga bagaimana dua anak muda yang berhasrat menerajui Pemuda Umno masing-masing dapat satu pencalonan dari dua bahagian yang bermesyuarat hari ini - Khairy Jamaluddin (Machang) dan Datuk Mukriz Mahathir (Kimanis).
Apapun, Umno berada dalam keadaan terbaik atau terburuk dalam usaha menentukan masa depannya. Terbaik kerana pemilihan Mac betul-betul boleh mengembalikan keyakinan ahli dan rakyat terhadap kepimpinannya jika pemilihan dibuat berasaskan kejujuran dan keikhlasan.
Terburuk kerana keghairahan dan sifat gila kuasa yang tiada sempadan boleh meranapkan sebuah wadah yang telah lama berjasa. Mundur maju Umno terletak kepada kewarasan dan kematangan pejuang-pejuang dalam parti tua ini.
TENGKU ZAFRUL AKAN PERJELAS SPEKULASI SERTAI PKR DALAM MASA TERDEKAT
5 hari yang lalu