Jakim disuruh diam dan biar dihina

Zahid Hamidi meminta pihak berkuasa agama berbincang secara tertutup. Dia masih tidak memberi komen mengenai isu yoga yang ditegur oleh pihak Hindu Sangam. Laporan berikut:


Bernama Disember 22hb, 2008

Perbincangan Tentang Agama Perlu Secara Tertutup, Kata Ahmad Zahid

SHAH ALAM, 22 Dis (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebarang perbincangan berkaitan isu agama tidak seharusnya dilakukan secara terbuka bagi memastikan keharmonian antara kaum di negara ini.

Beliau berkata semakin banyak perbincangan berkaitan isu agama diadakan akan menambahkan jurang di antara kaum.

"Justeru, saranan kami ialah supaya diperbanyakkan aktiviti bersama yang tidak berbentuk aktiviti keagamaan tetapi berbentuk aktiviti integrasi bersama, contohnya mengadakan majlis menghormati pemimpin agama bersama," katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan Pegawai Penguatkuasa Agama & Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia Kali ke-4 dan Pelancaran Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama di sini hari ini.

Katanya beliau telah meminta pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bertemu dengan pegawai Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) untuk membuat garis panduan ke arah integrasi kefahaman agama.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas saranan Kabinet baru-baru ini agar KPKKW berbincang dengan Jakim bagi mewujudkan beberapa kerangka mekanisme perpaduan yang terbaik di negara ini bertujuan memastikan sebarang isu berkaitan keagamaan dapat disampaikan dengan baik tanpa mengganggu hubungan antara kaum.

Selain itu, beliau berkata sebarang masalah berkaitan agama sebaik-baiknya diselesaikan oleh pemimpin agama masing-masing dan bukan diselesaikan oleh orang politik yang mungkin menggunakan isu itu untuk kepentingan politik.

"Sebab terdapat contoh di negara lain, semakin banyak dialog antara pemimpin yang bukan pemimpin agama, semakin banyak masalah timbul. Permasalahan yang timbul antara agama bukan disebabkan oleh pemimpin agama tetapi disebabkan oleh pemimpin politik daripada agama berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kod etika pegawai penguatkuasa agama yang dilancarkan hari ini meliputi tiga aspek iaitu penyeragaman daripada segi penguatkuasaan perundangan, kedudukan perjawatan dan identiti penguatkuasa.

Beliau berkata tiga elemen itu diberikan penekanan dalam kod etika itu agar setiap pegawai penguatkuasa bukan sahaja dihormati malah lebih ditakuti oleh pihak yang melakukan kesalahan.

Katanya kini terdapat 1,242 pegawai penguatkuasa agama di seluruh Malaysia yang nisbahnya ialah seorang penguatkuasa bagi 23,000 orang dan keadaan itu amat membebankan pegawai dalam melaksanakan tugas mereka.

"Oleh sebab itu kod etika ini sebagai panduan kepada pegawai penguatkuasa mengenai "the do's and the don'ts" (perkara yang patut dilakukan dan tidak boleh dilakukan)," katanya.

Hanya satu pandangan tetapi adakah ia menghadapi dan menyelesaikan masaalah sebenar dalam perhubungan antara kaum?

Bukankah baik pihak berkuasa ugama dipertingkatkan kemahiran dalam perhubungan awam dan komunikasi? Adakah tersirat tujuan supaya hanya ahli politik saja untuk membuat apa-apa kenyataan awam? Siapa pula yang akan selalu masuk suratkhabar?

Masaalah utama tersirat dalam perhubungan antara ugama adalah keengganan pihak tertentu dari golongan perundangan, aktivis yang konon memperjuangkan hak asasi manusia dan pertubuhan bukan Islam yang enggan menghormati dan memperakui Islam sebagai agama persekutuan.

Mereka enggan menerima kenyatan ahawa hak mereka hanya terbatas kepada kebebasan individu untuk beragama, dan tidak lain dari itu. Kritikan mereka mempunyai unsur perkauman dan cauvanis kaum di latarblekang. Kedudukkan Islam jelas lebih tinggi taraf dalam Perlembagaan dan mempunyai pelbagai keutamaan, termasuk untuk menerima peruntukkan kerajaan.

Dari menahan pegawai bercakap, Zahid seharusnya mendedah dan melatih pegawai Jakim dalam mendalami agama lain dan keupayaan berkomunikasi moden untuk berhujah.

Perang psikologi yang dimainkan adalah mencemarkan nama baik ulama, dan pegawai-pegawai pihak ugama. Jika kita berdiam diri, serangan-serangan tetap akan dilakukan dan persepsi terhadap pihak berkuasa ugama akan bertambah buruk. Biar yang memahami dan ahli bercakap dan bukan digunakan untuk modal politik.