Anak Jati Perak, Harakahdaily
Sun, Jul 01, 07
Saya baru terbaca artikel yang ditulis Tun Paduka Tuan, dalam www.detikdaily.net, yang sebenarnya dipetik dari laman marhean, yang mendedahkan kisah bagaimana Timbalan Menteri Penerangan, Zahid Hamidi, membelasah seorang duda yang dikatakan telah mengurat anak perempuannya, yang difahamkan berstatus janda. Iklan
Walaupun ia dikatakan berpunca daripada kisah keluarga yang tidak sepatutnya kita masuk campur tetapi apabila ia melibatkan "keganasan" dan Zahid dikatakan tidak dapat mengawal emosinya sehingga sanggup membelakangkan undang-undang, maka saya kira kes pukul ini cukup besar.
Terperanjat juga jika kandungan dalam tulisan itu benar belaka memandangkan Zahid mempunyai reputasi dan potensi cukup baik, malah perwatakannya juga dikira seperti orang agama.
Bagi saya, bekas Ketua Pemuda Umno itu, yang pernah melalui kisah getir ditangkap ISA selepas bekas mentornya Anwar Ibrahim dipecat pada 1998 dulu, berpeluang cerah untuk dilantik sebagai menteri penuh selepas pilihan raya umum akan datang.
Dan sebagai menteri, sekiranya beliau bertanding jawatan naib presiden Umno, saya kira peluangnya mungkin lebih cerah berbanding penyandang, Ali Rustam.
Lalu amatlah malang jika kisah yang didedahkan Tun Paduka Tuan itu betul-betul berlaku. Apa pun kita tunggulah kisah seterusnya, sama ada ia boleh menjadi lebih penas, ataupun cerita malang ini akan senyap sepi begitu sahaja ..._