RTM Dilaporkan Wan Rozza 05/06/2008
Keputusan permohonan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mengenepikan saman yang difailkan seorang usahawan yang mendakwa dirinya telah dikasari akan diketahui 18 Jun ini.
Keputusan itu ditangguhkan kerana Penolong Kanan Pendaftar, Nur Zafirah Mohamed Alu yang sepatutnya mengendalikan kes berkenaan sedang bercuti.
Sebutan kes itu dibuat di hadapan Timbalan Kanan Pendaftar Wan Norhisham Yaakob di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Shah Alam oleh peguamcara pihak plaintif, Karpal Singh.
Pada 5 Julai 2007, seorang usahawan, Amir Bazli Abdullah memfailkan writ saman tehadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.
Dalam writ saman itu beliau mendakwa dikasari Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid pada 16 Januari 2006 sehingga mendatangkan kecederaan teruk di bahagian muka.
Ahli Parlimen Bagan Datoh itu bertindak sedemikian apabila mendapati Amir Bazli menjalinkan hubungan dengan anak perempuannya dan pernah keluar bersama.
Pada 28 Ogos tahun yang sama, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang ketika itu Timbalan Menteri Penerangan telah memfailkan permohonan mengenepikan writ saman yang dikemukakan Amir Bazli.