Utusan Malaysia Julai 7hb, 2008
SHAH ALAM 16 Julai - Keputusan berhubung permohonan Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk membatalkan saman malu seorang usahawan, Amir Bazli Abdullah yang mendakwa dikasari menteri itu dalam kejadian hampir dua tahun lalu akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Ogos depan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mariana Yahya menetapkan tarikh itu selepas kes disebut di kamar beliau pagi ini.
Peguam Karpal Singh yang hadir mewakili plaintif ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, permohonan defendan membatalkan saman sebelum ini didengar di hadapan Penolong Kanan Pendaftar mahkamah itu. Tetapi kini, semua permohonan didengar oleh hakim bicara.
Sehubungan itu, menurut Karpal, Mariana yang mahu meneliti terlebih dahulu penghujahan bertulis dikemukakan kedua belah pihak, akan menetapkan tarikh untuk membuat keputusan itu pada prosiding akan datang.
Pada 5 Julai tahun lalu, Amir Bazli, 38, selaku plaintif memfailkan saman untuk menuntut sejumlah ganti rugi yang akan ditentukan oleh mahkamah kerana mendakwa ditumbuk oleh Ahmad Zahid pada 16 Januari 2006.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang dinamakan sebagai defendan dalam saman tersebut diwakili peguam Shamsul Baharin.
Ahmad Zahid memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 29 Ogos tahun lalu dengan alasan kejadian tersebut tidak pernah berlaku dan sengaja direka oleh Amir Bazli.
TENGKU ZAFRUL AKAN PERJELAS SPEKULASI SERTAI PKR DALAM MASA TERDEKAT
6 hari yang lalu