Ahmad Zahid Terima PhD

SERDANG, 18 Okt -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara 176 graduan yang menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada sesi pertama Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) kali ke-32 hari ini.

Beliau menerima Ijazah PhD dalam bidang Komunikasi Kemanusiaan sekaligus menjadikannya pemegang jawatan menteri yang pertama menamatkan pengajian dalam peringkat PhD ketika masih dalam perkhidmatan.

Ahmad Zahid berkata usaha selama tujuh tahun untuk menyiapkan tesis di samping menjalankan tugasan membuktikan anggapan sesetengah pihak yang menyatakan pengajian pasca-siswazah oleh golongan karyawan dianggap boleh dibeli adalah salah.

"Terpaksa berkejar-kejar untuk menyiapkan tugasan yang kesemuanya mempunyai deadline dan adakalanya terpaksa membuat pindaan apabila persembahan kajian ditolak oleh jawatankuasa penilaian namun itu tidak menghalangnya untuk menamatkan pengajian," katanya.

Beliau berkata UPM bukan sebuah universiti yang mencetak dan menjual ijazah, tanpa mengira status semua penuntut perlu memberikan komitmen dan hasil kerja yang berkualiti dan terbaik.

Pada majlis itu UPM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi kepada Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan yang disampaikan oleh Canselor UPM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadiah Pingat Emas Canselor pula dianugerahkan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Aini Marina Ma'rof dan bagi penerima Anugerah pelajaran Diraja kategori bumiputera pula ialah Faizura Rohaizad pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) sementara graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Yap Wing Fen pula ialah penerima kategori bukan bumiputera.

Penerima Pingat Emas Alumni pula ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Lee Inn Thing, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian A'fifah Abdul Razak pula menerima Pingat Emas Yayasan Pak Rashid manakala Hadiah Syed Kechik diterima graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia Ahmad Zamri Alimin.

Keseluruhan seramai 7846 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing pada konvokesyen yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini.-- BERNAMA