Friday, October 10, 2008
Dipaksa atau rela hati?
Oleh Hambali Abdul Latif
Kenapa tiba-tiba Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengubah fikiran untuk hanya bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan?
Beliau yang sudah pun mendapat sokongan selepas menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, berkata keputusan itu dibuat demi menjaga perpaduan anggota peringkat akar umbi.
Umno Bahagian Kuala Terengganu semalam (9 Oktober 2008) mengumumkan akan mencalonkan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno dalam pemilihan Agung Umno pada Mac depan.
Ketua Umno Bahagian, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian yang diadakan Selasa lepas.
Menurut Wan Farid: “Dari satu sudut, kita merasakan orang yang layak bertanding bagi jawatan nombor dua parti itu adalah mereka yang datang dari kalangan Naib Presiden atau mereka yang pernah menjadi Ketua Pemuda yang mana jawatannya setaraf dengan Naib Presiden Umno,” katanya, sambil menambah calon Timbalan Presiden yang dimaksudkan itu adalah Ahmad Zahid.
Malah, Badan Perhubungan Umno Perlis turut mengalu-alukan keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti, Mac depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata keputusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sekurang-kurangnya memenuhi hasrat Umno yang memerlukan pemimpin muda untuk memperkasakan parti.
Pada 3 Oktober lalu Zahid berkata kesediaannya bertanding jawatan timbalan presiden Umno pada pemilihan parti Mac ini berdasarkan telahan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil alih jawatan presiden Umno.
Katanya apabila ada kekosongan jawatan timbalan presiden, beliau telah diminta oleh akar umbi untuk menawarkan diri ke jawatan berkenaan.
Tegasnya: "Saya tidak berhajat untuk "mendahului" mana-mana pemimpin, bagi saya keputusan yang saya buat berdasarkan telahan saya, Najib akan mengambil-alih jawatan sebagai presiden."
Zahid adalah pemimpin yang pertama menyatakan kesediaannya bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno.
Zahid, 55, juga mengatakan pengumuman beliau untuk bertanding bagi jawatan nombor dua parti itu terlalu awal, beliau berkata pengumuman itu perlu kerana persidangan mesyuarat bahagian-bahagian akan bermula Khamis ini (9 Okt).
Ditanya hirarki dalam Umno, jawatan timbalan presiden adalah terdiri dari kalangan mereka yang telah berkhidmat sebagai naib presiden, beliau berkata bekas timbalan perdana menteri allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman ketika memenangi jawatan timbalan presiden Umno ketika itu beliau bukanlah penyandang jawatan naib presiden Umno.
Dengan kata lain, sudah ada precedent dalam Umno, jawatan timbalan pernah dimenangi di kalangan mereka yang bukan terdiri daripada naib presiden.
Mengenai keputusan terbarunya, Zahid berkata beliau mahu menjaga kekukuhan parti serta menghormati Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, yang bakal menerajui Umno.
Kenapa beberapa hari sebelum ini Zahid tidak menilai faktor itu semua?
Apakah Zahid jenis penakut? Atau Zahid benar-benar insaf bahawa menjaga perpaduan parti dan melakukan pengorbanan, lebih penting daripada segala-galanya.
Kata Zahid dalam kenyataannya: “Saya memohon sokongan dan pencalonan daripada akar umbi dalam persidangan Umno bahagian-bahagian untuk jawatan berkenaan (Naib Presiden) sahaja.
Saya juga ingin menyatakan sokongan dan taat setia tidak berbelah bagi saya kepada Datuk Seri Najib, yang telah diberikan kepercayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengambil alih teraju kepimpinan parti sebagaimana yang telah diputuskan," katanya.
Zahid, yang kini anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memahami situasi dan realiti politik semasa, yang memerlukan pengorbanan daripada seseorang demi perpaduan dan kekuatan parti.
Realitinya Zahid memang diakui berprinsip dalam tindak tanduknya dan ini ditunjukkan sejak beliau menjadi Ketua Pemuda Pergerakan UMNO lagi.
Apapun, Zahid yang memenangi jawatan pemilihan Ketua Pemuda Umno pada 1996 secara automatik setaraf naib presiden sehinggalah beliau tidak lagi menjawat jawatan berkenaan.
Persoalannya, apakah selepas itu Zahid merajuk atau menentang UMNO?
Jawapannya tidak!
Zahid memilih untuk berada pada pihak Tun Dr Mahathir Mohamad dan ‘melupakan’ Anwar biarpun banyak pihak mendakwa dan mendedahkan mengenai harta-hartanya yang dikatakan didapatinya hasil keakrabannya dengan Anwar.
Zahid yang membentangkan isu kolusi dan kronisme pada Perhimpunan Agung UMNO 1998 akhirnya terpaksa akur bahawa apa yang diperkatakan olehnya banyak ‘menikam dirinya’ sendiri.
Apa pun, Zahid menzahirkan keperibadiannya kerana beliau memang jenis yang ‘taat’ kepada ketuanya, khususnya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang membimbingnya sejak menjadi Setiausaha Politik lagi.
Malah, biarpun banyak pihak menganggap beliau begitu mengagumi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Zahid sanggup menerima cacian, cerca dan segala-galanya, termasuk ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana ‘ketaatannya’ kepada ketuanya – Najib dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bukankah ini suatu pengorbanan?
Saya masih ingat bagaimana Zahid yang kemudiannya tidak lagi menjadi Ketua Pemuda UMNO dan Pengerusi Bank Simpanan Nasional ‘ditinggalkan penyokong-penyokongnya sebelum itu’.
Mereka melihat Zahid tidak dapat memberikan apa-apa lagi – rakan-rakan daripada kumpulan Anwar yang ‘mencercanya’ dan juga kawan-kawan yang menyokong Dr Mahathir yang ‘sangsi’ terhadapnya – tidak lagi berlegar di rumahnya.
Zahid - untuk beberapa ketika kehilangan kawan-kawan, khususnya selepas dibebaskan ISA - ketika itulah menumpukan kepada pengajian Ph.Dnya.
Saya sering juga ke rumahnya di Country Heights dan dijemput makan semeja dengannya dengan dilayani isterinya (Datin Seri).
Jelas sekali Zahid memang nampak kesaorangan ketika itu.
Ada sekali kebetulan waktu maghrib, Zahid menjadi imam dan saya makmum yang satu-satunya!
Tiada lagi deretan-deretan makmum atau tetamu yang datang bertahlil atau ‘berbual-bual’ panjang. Malah, saya dijemput ke bilik bacaan beliau yang kebetulan saya juga berminat untuk menyambung pengajian.
Namun, saya hanya separuh jalan kerana masalah kewangan dan beliau berjaya mendapat Doktor Falsafahnya di Universiti Putra Malaysia.
Apa pun, kesetiaan Zahid kepada UMNO berbaloi apabila terus dapat bertanding untuk kerusi Parlimen pada pilihan raya 1999 dan menang.
Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Penerangan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) yang ketika itu dipengerusikan oleh Datuk Seri Jamaluddin Jarjis.
Kemudian beliau ditugaskan pula menjaga Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan semakin ramailah orang yang mendekatinya.
Keakrabannya dengan Abdullah dan mentornya, Najib terus mendapat tempat dan sudah pasti menguntungkan Zahid.
Saya tidak terkejut apabila hanya beberapa hari selepas menemubualnya dalam rancangan “Bicara Ekonom” Selamat Pagi Malaysia (SPM) TV1, mengenai ‘Prospek Pelancongan Islam’ beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Pelancongan.
Selepas itu segala-galanya berada di tangan Zahid. Beliau menjadi Timbalan Menteri Penerangan dan kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Dan seperti saya katakan sebelum ini, apabila Zahid mendapat pangkat, ramailah ‘kawan lamanya kembali kepadanya dan juga ramai kawan baru yang mengelilinginya.”
Saya nampak, beliau tidak ada masalah untuk menang Naib Presiden UMNO kerana bukan sahaja ‘kawan-kawannya ramai’, malah mentornya juga kini menuju kepada orang nombor wahid UMNO.
Jalan terbuka luas untuk Zahid kini selepas menghadapi ‘cahaya kecil di hujung terowong’ pada akhir 1990-an dan awal abad ke 21.
Hakikatnya selepas hampir 10 tahun bergelut meletakkan identiti dan pendirian politiknya, Zahid kini benar-benar mampu untuk melangkah lebih jauh.
Syabar dan tahniah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi!
TENGKU ZAFRUL AKAN PERJELAS SPEKULASI SERTAI PKR DALAM MASA TERDEKAT
5 hari yang lalu