Zahid Hamidi tarik diri

Utusan Malaysia, October 10, 2008

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengubah fikiran untuk hanya bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti Mac depan.

Beliau yang sebelum ini menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden UMNO, berkata, keputusan itu dibuat demi menjaga perpaduan anggota peringkat akar umbi dan kekukuhan parti serta menghormati Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, yang bakal menerajui UMNO.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau;

Demi menjaga perpaduan akar umbi serta menghormati Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan menerajui UMNO, saya menawarkan diri untuk bertanding hanya jawatan naib presiden UMNO pada pemilihan kali ini.

Justeru, saya memohon sokongan dan pencalonan daripada akar umbi dalam persidangan UMNO bahagian-bahagian untuk jawatan berkenaan sahaja.

Saya juga ingin menyatakan sokongan dan taat setia tidak berbelah bagi saya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah diberikan kepercayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengambil alih teraju kepimpinan parti sebagaimana yang telah diputuskan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memahami situasi dan realiti politik semasa yang memerlukan pengorbanan daripada seseorang demi perpaduan dan kekuatan parti.- Utusan

KOMEN: Ah ... temberang si Zahid. Kalau dia nak jaga parti, patut jangan jadi kaki bodek selama ini.