Pemilihan jemaah haji tidak kira fahaman politik

Utusan Malaysia, Okt 29hb, 2008

IPOH 28 Okt. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan kononnya beliau mengambil kira fahaman politik sebelum meluluskan permohonan jemaah haji yang akan ke Mekah.

Menurutnya, dakwaan itu tidak benar kerana permohonan khas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin dan anggota Pas lain turut diberikan kelulusan.

Katanya, sikap terbuka yang diamalkannya dalam mengendalikan hal-hal agama menyebabkan beliau memberi kelulusan kepada rombongan 22 ahli Pas disertai oleh Menteri Besar Perak itu menunaikan haji pada musim ini meskipun terdapat kira-kira 348,000 senarai menunggu dalam simpanan Tabung Haji.

Katanya, mereka yang mendaftar tahun ini hanya boleh pergi ke Tanah Suci pada tahun 2019 tetapi beliau meluluskan permohonan Mohammad Nizar kerana bersikap terbuka dengan mengetepikan perbezaan politik.

"Saya sudah meluluskan senarai rombongan jemaah haji yang dipohon oleh Menteri Besar Perak yang terdiri daripada 22 orang termasuk isterinya, Datin Seri Fatimah Taat; Setiausaha Politiknya, Mohd. Misbahul Munir Masduki dan Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub.

"Saya tidak mengambil pendekatan politik untuk meluluskan permohonan jemaah haji berkenaan dan inilah sikap terbuka saya dalam mengendalikan hal-hal agama.

"Masyarakat harus diberitahu bahawa walaupun mereka daripada parti yang berbeza tetapi demi agama, perkara politik diasingkan," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pejabat Pembangunan Persekutuan Perak di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Menurutnya, dasar keterbukaan yang diamalkan itu wajar dicontohi oleh kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang dalam mengagihkan peruntukan untuk keperluan hal-hal agama.

"Ada yang mengatakan bahawa jemaah haji diluluskan hanya kepada pihak-pihak tertentu tetapi dakwaan itu tidak benar kerana pendekatan kita ialah 'siapa cepat dia dapat'," ujarnya.

KOMEN: Apa perlu dikomen beenda yang tidak berlaku? DIam sajalah ... Gilakan puhblisiti atau bodoh?