Segera keluarkan fatwa pinjaman haji

Utusan Malaysia , Oktober 29hb, 2008

BATU PAHAT 28 Okt. - Majlis Fatwa Kebangsaan digesa segera mengeluarkan kenyataan mengenai hukum umat Islam menunaikan ibadat haji menerusi pinjaman wang daripada institusi kewangan termasuk bank.

Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ini perlu bagi mengelakkan umat Islam negara ini terus keliru mengenainya kerana amalan tersebut dibenarkan di Indonesia.

Beliau berkata, kekeliruan mula timbul setelah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Masitah Ibrahim baru-baru ini mendakwa umat Islam dibolehkan menunaikan ibadat haji menggunakan wang pinjaman bank.

''Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula membuat kenyataan sebaliknya," kata beliau ketika meraikan 140 bakal haji Parlimen Batu Pahat di Senggarang dekat sini semalam.

Beliau berkata, kenyataan yang bercanggah itu menyebabkan bakal-bakal haji keliru dan mahu penjelasan rasmi mengenainya dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dengan segera.

Menurut beliau, sekiranya dibenarkan, penjelasan terperinci termasuk kaedah dan caranya perlu dikeluarkan bagi mengelakkan umat Islam tidak dianiaya oleh institusi kewangan.

''Kita tidak mahu ada umat Islam diisytiharkan muflis tidak lama sekembalinya daripada menunaikan haji," katanya.

Beliau berkata, selain bank atau institusi kewangan berdaftar, adakah umat Islam juga dibolehkan meminjam daripada ah long atau individu tertentu dengan mencagarkan harta termasuk tanah untuk tujuan tersebut.

Bagaimanapun, Mohd. Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat menggalakkan umat Isam agar menggunakan kaedah sedia ada iaitu menabung termasuk di dalam Tabung Haji sehingga cukup sebelum menunaikan ibadat tersebut.

''Ini lebih afdal dan mententeramkan jiwa serta fikiran semasa menunaikan haji," katanya.

Menurutnya, menunaikan haji menggunakan wang pinjaman dikhuatiri akan menimbulkan pelbagai masalah dan akhirnya ibadat tersebut menjadi sia-sia.

KOMEN: Macam kamu jadi bos Zahid?

Timbalan cakap lain dan kamu cakap lain. Timbalan kamu belajar Azhar dan bekas pensyarah. Kamu belajar sastera dan doktor pakar dalam manifesto BN pada pilihanraya ...

Yang kesian, adalah orang ramai.