Syor wujud Majlis Peguam Syarie

Utusan Malaysia Okt 19, 2008

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah diminta berbincang dengan Jabatan Peguam Negara mengenai usaha persefahaman undang-undang sivil dan syariah.

Beliau berkata, kerjasama tersebut mampu merealisasikan usaha penyeragaman kedua-dua undang-undang tersebut pada masa depan.

"Penyeragaman undang-undang sivil dengan syariah tidak mustahil untuk dilaksanakan di negara ini pada masa depan dengan adanya komitmen daripada pengamal dan penguatkuasaan undang-undang serta kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai jaminan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi untuk mencari jalan penyelesaian ke arah mewujudkan persefahaman antara kedua-dua undang-undang tersebut supaya tidak timbul konflik pada masa depan.

Zaki berkata, persefahaman yang baik antara kedua-duanya amat penting bagi menangani lebih banyak isu perundangan yang semakin rumit melibatkan umat Islam dan bukan Islam yang dikemukakan di mahkamah.

Ahmad Zahid menjelaskan, antara langkah awal yang telah dilakukan kerajaan sebelum ini bagi mewujudkan persefahaman antara kedua-dua undang-undang tersebut termasuk mewujudkan Jawatankuasa Bersama Mahkamah dan Pengamal Undang- undang Syarie dan Sivil sebelum ini.

"Ini telah dibentuk untuk mewujudkan beberapa kes yang harus tidak dibawa ke kamar terbuka tetapi dibincangkan secara tertutup bersama peguam syarie dan sivil," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan mempersembahkan cadangan mewujudkan Majlis Peguam Syarie kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk diperkenankan bagi menyelaraskan Sijil Amalan Guaman Syarie yang dikeluarkan kepada peguam syarie.

Katanya, perkara ini telah dibincangkan bersama Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia untuk dibentangkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam sedikit masa lagi.

"Apabila majlis ini dibentuk kelak, amalan peguam syarie akan diselaraskan. Bukan seperti sekarang yang mana peguam syarie yang menjadi ahli Majlis Peguam hanya dapat menjalankan amalan undang-undang syariah di negeri yang mengeluarkan sijil amalannya sahaja.

"Jika dia mahu mengamalkan di semua negeri, maknanya dia kena ada semua sijil dari semua negeri itu. Apabila majlis ini ditubuhkan maka sijil amalan itu akan diselaraskan di satu peringkat sahaja," katanya.

KOMEN: Tahulah kamu ada Phd, tapi ini bukan jurang bidang kamu. Ini biarlah peguam dan hakim bincangkan sedalam. Kamu nampak sangat tak faham implikasi dan hanya melompat untuk kepentingan politik saja.

Baru seorang bekas Hakim beri pandangan, kamu dah main setuju. Ada banyak lagi isu perlu didalami dalam syor itu. Bolehkah peguam dan hakim yang tidak terlatih dalam hukum syarie menjalankan tugas?

Jangan main cepat melompat saja, Zahid. Tak ada kelas sebagai Menteri ...