Rumah Zahid di Bagan Datoh
Sedikit sangat maklumat latarbelakang mengenai Zahid Hamidi yang boleh diperolehi di Internet. Kalau ada pun kisah awal politik Zahid, ianya datang dari sumber pembangkang berkenaan syarahan KKN oleh Zahid sebagai Ketua Pemuda UMNO semasa pembukaan Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO tahun 1997. KKN adalah pendikkan untuk Kronisma, Korupsi dan Nepotisma.
Sumber Wikipedia Bahasa Melayu hanya memberi sedikit maklumat mengenai jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan sejarah pendidikkan di Ipoh, Kelang dan Universiti Malaya. Disebut juga Zahid ditahan di bawah ISA pada 21 Sepetember 1998 kerana terlibat dengan gerakan subversif menyokong reformasi.
Sejarah politik Zahid bermula pada lebih kurang tahun 1982 apabila dia dibawa masuk sebagai AJK Terlantik Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datoh, Perak oleh Ketua Pemuda Bahagian. Ketua Pemuda Bahagian semasa itu adalah Hj Mohamad Khairi Yahya, yang kini seorang pesara Pengetua Sekolah Menengah.
Semasa itu, Zahid sedang bekerja dengan Amanah Saham MARA dan secara part-time mengajar di Yayasan Anda bersama Roslan Kassim dan Anwar Ibrahim. Kalau ada yang masih ingat, Zahid mundir ke sana ke mari dengan kereta Nissan March semasa itu.
Zahid dibawa masuk dalam politik UMNO oleh seorang sepupunya bernama Azhari Mokhtar yang memberinya laluan untuk menjadi Ketua Pemuda Cawangan. Azhari melihat Zahid mempunyai potensi dan masa depan politik yang baik sebagai seorang keluaran Universiti. Dia yang melobi kepada Mat Khairi untuk mengambil Zahid ke dalam AJK Pemuda Bahagian.
Mat Khairi pada masa itu sudah menghampiri umur 40 tahun. Dia sudah merancang peralihan kuasa kepada Zahid. Untuk pemilihan di akhir tahun 1982 itu, dia mencadangkan Zahid tandingi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian bagi memudahkan peralihan kuasa kepadanya beberapa tahun lagi.
Rupa-rupanya niat baik Mat Khairi itu dibalas dengan tuba oleh Zahid. Di belakang, Zahid merancang untuk menjatuhkan Mat Khairi. Dia merasa angkuh dan jijik untuk menjadi Naib kepada orang kampung. Mana tidak, dia sudah berlaga bahu dengan pemimpin-pemimpin besar UMNO seperti Musa Hitam di Kuala Lumput.
Nasibnya baik kerana dia berjaya mengalahkan Ketua Pemuda Bahagian yang ada. Dari situ, dengan bantuan kawan-kawan, dia mula dapat lebih banyak perkenalan dengan orang-orang penting politik. Dengan meletakkan dirinya sebagai "orang Anwar", kerjaya politiknya berjaya meningkat hingga menjadi ahli Exco Pemuda Pusat.
Kenaikkan Zahid di cawangan dan bahagian bermula dengan laluan dari sepupunya Azahari dan ahli-ahli tempatan Bagan Datoh. Apabila dia sudah naik, ditinggalkan semua mereka yang membantunya tanpa pembelaan. Azahari sendiri dibiarkan begitu saja selama pulohan tahun tanpa dibantu dari keuntungan nasib baiknya.
Politik Zahid penuh dengan peristiwa-peristiwa dan tingkah laku yang tidak menunjukkan kesetiakawanan dalam berpolitik. Banyak rakan politik yang ditikam dari belakang apabila timbul peluang.
Bukan setakat itu, Zahid tidak malu mengutuk pihak-pihak yang pernah membantunya. Tetapi apabila terjebak dengan masaalah, dia tidak malu untuk merayu pertolongan. Setelah pulih semula keadaan, dia sedia menghentam mereka yang menolongnya itu kembali.
Semasa Rahim Tamby Chik menghadapi masaalah mengenai tuduhan salahlaku seks dengan anak bawah umur, Zahid adalah dalang yang meletakkan tekanan memaksanya mengundur dari jawatan Ketua Pemuda. Jawatan pemangku Ketua Pemuda diganti oleh Nazri Aziz. Dapat Zahid naik menjadi pemangku Naib Ketua Pemuda.
Sehabisnya tempuh, Nazri enggan bertanding jawatan Ketua Pemuda. Zahid yang bertanding dan menang dalam satu pertandingan empat penjuru. Semasa dapat menyandang jawatan itu, begitu menjunjung tinggi dia memuji Dr Mahathir. Dia pernah menyebut, "Aku sayang orang tua itu."
Rupa-rupanya manis dibibir saja. Dalam diam-diam, dia membantu rancangan Anwar untuk memalukan Dr Mahathir dengan syarahan KKN. Semasa itu, Anwar sudah tidak sabar untuk menggantikan Dr Mahathir dan merancang menjatuhkannya.
Reaksi Dr Mahathir kepada tuduhan KKN Zahid adalah dengan mendedahkan semua nama-nama yang mendapat projek kerajaan dan projek pengswastaan. Zahid didapati mendapat projek pengswastaan dan pegang saham Kretam bawah namanya.
Terdedahlah salah laku CBT dalam saham Kretam kerana ia dipunyai oleh Yayasan Gerak Bakti. Zahid adalah salah seorang ahli Lembaga Amanah. Rupanya dia telah menyalurkan saham yang diperuntukkan MITI kepada Yayasan Gerakbakti kepada sebuah syarikat kepunyaannya suami isteri. Kesalahan pecah amanah sedemikian boleh membawa hukuman penjara.
Dengan bantuan Najib, dia meminta pertolongan Dr Mahathir untuk membantu menyelesaikan masaalah tersebut. Zahid pun terlepas dari hukuman.
Selain salahlaku Kretam, Zahid menggunakan kedudukkannya sebagai Pengerusi Bank Simpanan Nasional untuk merasuah perwakilan Pemuda dengan kad kredit.
Itu pun apabila berlaku reformasi akibat pemecatan Anwar Ibrahim atas salahlakunya, Zahid berpihak kepada Anwar dan membelakangkan Dr Mahathir sekali lagi. Semasa dia berada di Kota Kinabalu, dia ditangkap bawah ISA. Ada pihak berkata Zahid cuba melarikan diri ke luar negara.
Semasa dalam tahanan ISA, isterinya Hamidah telah merayu bantyuan dari bekas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Nordin Mohd Noor. Nordin telah berjumpa dengan Mokhzani untuk meminta merayu pada Dr Mahathir. Sepanjang dilantik Zahid sebagai Bendahari, dia telah meminggirkan Mokhzani dan dia digunakan untuk mendekatkan diri dengan Dr Mahathir.
Dr Mahathir membantu dan lepas lagi Zahid. Dia pun meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Sepanjang tidak mempunyai jawatan, dia telah berusaha untuk datang kembali. Pelbagai usaha diguna untuk memujuk hati Dr Mahathir.
Dikatakan dia memberi baksis kepada salah seorang ADC Dr Mahathir untuk mengetahui jadual Dr Mahathir. Dia akan muncul di Majlis-Majlis yang ada Dr Mahathir. Bila ada peluang, dia akan memunculkan diri berkongsi lift dengan Dr Mahathir. Itu yang membolehkan dia kekal sebagai ahli Parlimen Bagan Datoh.
Nasibnya baik. Apabila Abdullah Badawi naik, dia memberinya peluang untuk menjadi Timbalan Menteri. Walaupun Abdullah melihatnya sebagai orang Najib, dia berjaya meyakinkan Pak Lah.
Dengan cekap, dia berjaya temberang Abdullah engan kata-kata kononnya ayah Zahid telah berpesan supaya berbaiah setia kepada Pak Lah. Diberitahu Pak Lah bahawa ayahnya pernah berguru dengan Abdullah Fahim, Datok kepada Abdullah di Kepala Batas.
Abdullah Fahim pernah mengajar sekejap di Sekolah Izzudin yang ayahnya bersekolah dan dipanggil pulang ke Kepala Batas. Menurut Zahid, ayahnya mengikut Abdullah Fahim pulang ke Kepala Batas dan berguru dengannya. Walluhu Alam, ini Zahid yang bercakap.
Bagaikan roda yang berputar, tidak lama lepas dia merasa jawatan Timbalan Menteri, dia telah mengikut rasmi lalang untuk mengenepikan jasa dan bantuan Dr Mahathir kepadanya. Apabila Dr Mahathir mula menegur Abdullah pada tahun 2005, Zahid dan Ali Rustam adalah antara suara yang paling lantang mengkritik dan menghina Dr Mahathir.
Bukan setakat ayah, Zahid berdendam kepada anaknya, Mukhriz. Mukhriz adalah adik kepada Mokhzani yang pernah membantunya lepas dari ISA. Dia dikritik dengan kasar dan keras semasa memberi komen ikhlas mengenai ucapan Abdullah di Persidangan Agong UMNO 2006. Sememang benar ucapan Pak Lah cetek dan hanya mengulang ucapan bujet di Parlimen.
Zahid dijangka mendapat tempat dalam kebinet Najib kerana hubungan lamanya dengan Najib. Dia pernah bersama dalam exco semasa Najib memegang jawatan Ketua Pemuda. Semasa Najib pertama kali memegang jawatan Menteri Pertahanan pada awak tahun 90an, Zahid adalah Setiausaha Politik Najib. Zahid pun baik dengan Rosmah dan ini satu kelebihan utama.
Ramai pegawai-pegawai MINDEF yang bertugas semasa itu bercerita mengenai persekongkolan terbuka antara Zahid dan Rosmah untuk membalun pelbagai kontrak-kontrak di MINDEF.
Ura-ura mengatakan Zahid akan diletakkan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dalam kabinet Najib. Dalam jawatan Menteri Ugama pun dia boleh mengatur "rancangan" untuk menyapu komisyen dan baksis dari pembangunan tanah-tanah wakaf. (Pendedahan akan datang) Di MECD, Zahid akan bagaikan tikus jatuh ke tepong.
Inilah pemimpin yang satu masa dahulu berdegar-degar atas pentas dan TV berpidato mengenai amalan korupsi, kronisma dan nepotisma.
Begitulah sejarah politik Zahid yang penuh dengan sifat bermuka-muka. Pendirian yang bagaikan lalang mudah ditiup ke sana ke mari untuk politik. Perjuangan dalam dirinya hanya menanam tebu di bibir. Apabila dia dalam kesusahan, dia serupa melepaskan anjing tersepat. Segala budi dibalas dengan tuba.
- Disunting pada Mac 18hb 2009 8:30 am