Zahid apolegis politik wang

Saya menonton siaran program Agenda Awani yang disiarkan mulai jam 8.30 malam melalui Astro Awani saluran 501 untuk mendengar Zahid Hamidi membincang mengenai tajuk “Persepsi UMNO Parti Korup”.

Dari cara dia menjawab, Zahid Hamidi kelihatan seperti apolegis atau berhujah mempertahankan pengamal politik wang atau rasuah politik yang berlaku dalam UMNO.

Dia menganggap ianya seperti "kesalahan trafik" yang bermaksud salah hanya bila tertangkap. Disamping itu, dia menyebut penangkapan beberapa ahli pemimpin dan ramai ahli UMNO sebagai adalah disebabkan "orang buang kulit pisang" untuk orang jatuh.

Jika saya seorang saja yang menyedari kelemahan hujah Zahid, mungkin ada menuduh saya bias. Saya lamirkan di bawah ini komen seorang sahabatnya, ia-itu Dato Fuad Hassan yang bersamanya dalam Abim, Timbalan Presiden Perkasa dan AJK Bahagian UMNO Gombak.

Saya juga tidak dapat menyembunyikan kekecewaan saya terhadap sahabat saya Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang ternyata hambar, kontang idea dan tenggelam dalam kepetahan Dr. Puad..

Saya kecewa seorang yang berpengalaman seperti Dr. Zahid ternyata lemah sekali dalam berhujah dan inilah juga tanggapan ramai terhadap Dr. Zahid seperti yang disampaikan oleh kawan-kawan saya.

Beliau menyebut berkali-kali tentang perlunya beliau menang untuk membolehkannya membuat perubahan dan rombakan terhadap sistem politik UMNO di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Nampak macam beliau ‘enjoy’ menyebut hubungan baiknya dengan Najib.

Dr. Zahid berjanji untuk membuat kursus-kursus untuk mendidik ahli-ahli UMNO sekiranya beliau menang. Soalnya beliau telahpun berkuasa sekian lama dan menjadi ahli majlis tertinggi yang paling atas melalui persepsi ahli-ahli UMNO yang tinggi terhadap beliau.

Dr. Zahid gagal mengupas tajuk ini dengan bernas dan petah. Beliau nyata teragak-agak dan khayal dalam kelancaran Dr. Mohd Puad. Ini jelas apabila ditanya oleh salah seorang ahli penal mengenai bagaimana Islam boleh membenteras rasuah, beliau menjawab, “semua agama menganggap rasuah itu haram” dan “kita kena melakukan kaedah face to face untuk mencegah rasuah”. Full Stop.

Tercenggang saya akan jawapan beliau. Saya amat mengharapkan seorang yang keluar dari Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah, Ipoh dapat memberikan huraian Islam mengenainya, ternyata hampa. Tidak terserlah keintelektualannya.

Salah seorang kawan saya yang bekerja di media letronik memberikan komennya bersahaja. “Mungkin tajuk itu terlalu berat dan beliau ada 'baggage' yang dibawa”.

Begitu mendalam mesej beliau, namun saya menjangkakan Dr. Zahid akan menang salah satu daripada jawatan Naib Presiden yang ditandinginya. Jika tidak siapa lagi yang tinggal dalam UMNO, Hishamuddin ?


Tak payah kita berhujah dan berlapik. Zahid memang seorang pengamal politik wang. Maka demikianlah hujahnya.