Ahad, 4 Januari 2009

Kerajaan Perak arah Kemas kosong premis Tadika?

13,000 murid tadika terjejas

Oleh AZMI ABDUL MALEK
Mingguan Malaysia Januari 4hb, 2009

BAGAN DATOH 3 Jan. - Kira-kira 13,000 murid tadika di negeri ini mungkin terjejas pembelajaran mereka ekoran tindakan kerajaan negeri Perak mengarahkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengosongkan 700 premis tadika milik agensi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa pegawai Kemas mendakwa mereka telah diarahkan oleh Pejabat Daerah supaya menyerahkan kunci dewan orang ramai dan pejabat Kemas kepada kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, sesetengah Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Persekutuan (JKKP) telah menyerahkan kunci premis berkenaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Negeri (JKKKN) kerana tidak mahu bertengkar dengan mereka.

"Bagaimanapun masih ada pegawai Kemas yang belum menyerahkan kunci berkenaan kerana mempertahankan hak masing-masing.

"Kerajaan Perak tidak berhak mengguna dan mengendalikan program dalam bangunan yang dibina sendiri oleh Kerajaan Pusat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mesra Rakyat dan Sukaneka anjuran Kemas Negeri Perak di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kakitangan dan guru Kemas di negeri ini berhak mempertahankan kepentingan 13,000 kanak-kanak yang seharusnya mendapat pendidikan awal apabila sesi persekolahan bermula Isnin ini.

Beliau kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang menidakkan hak anak-anak penduduk miskin di negeri ini untuk menerima pendidikan awal.

Sehubungan itu, beliau meminta kakitangan Kemas meneruskan program mereka walaupun dipaksa keluar daripada premis berkenaan.

"Saya juga meminta kerajaan negeri menarik balik arahan yang boleh merugikan masyarakat itu," tegasnya.

Menurutnya, adalah tidak wajar kanak-kanak prasekolah menjadi mangsa akibat keangkuhan dan permainan politik pihak tertentu di negeri ini.

KOMEN: Jika demikian sikap kerajaan Perak, ini tentu sekali menyedihkan. Amat tidak bertanggungjawab atas kerajaan Perak melakukan sedemikian pada hari sekolah akan buka besok. Tentu pengundi akan marah dengan pihak kerajaan.

Harap benar apa yang dikatakan Zahid itu bukan pembohongan politik dan fitnah.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

"PERAK KUNCI DEWAN 700 TADIKA KEMAS". "TINDAKAN JEJAS 11,000 KANAK-KANAK: ZAHID." OLEH Abu Bakar al-Sidek. Begitulah bunyinya laporan di muka surat 11 Berita Minggu keluaran Ahad, 4 Januari 2009.

Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dengan dakwaan dan tohmahan yang dinyatakan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui laporan akhbar tersebut dan juga akhbar arus perdana bahasa melayu yang lain pada hari yang sama.

Dinyatakan dalam laporan tersebut, " kerajaan Pakatan Rakyat di Perak mengunci pintu dewan yang akan di jadikan kira-kira 700 kelas bagi lebih 11,000 kanak-kanak Tadika Kemas yang akan memulakan persekolahan esok". Menteri berkenaan turut menyatakan, " tindakan kerajaan negeri gabungan Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat itu menafikan hak untuk mendapat pendidikan kanak-kanak dari golongan kurang berada itu".

Kata menteri bekenaan lagi, " kerajaan negeri dibawah kepemimpinan Pesuruhjaya II Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar tidak berhak berbuat demikian kerana dewan berkenaan dibina dengan dana Kerajaan Persekutuan." Tambah menteri berkenaan lagi, " Ini perbuatan zalim dan kejam terhadap murid tadika yang tidak berdosa sekali gus membuktikan pemimpin kerajaan negeri tidak prihatin dengan rakyat".

Kenyataan dan tuduhan berbau politik ini dibuat bagi mencemarkan nama baik kerajaan Pakatan Rakyat Perak terutama menjelang PRK K Terengganu. Sebenarnya kerajaan negeri Perak tidak pernah membuat apa-apa arahan atau keputusan mengenai penggunaan dewan orang ramai sebagai premis dan kelas Tadika Kemas. Ini sengaja diada-adakan oleh Zahid melalui dakwaan beberapa ketua JKKP barangkali di Bagan Datok, Perak.
Oleh yang demikian saya telah meminta petugas saya membuat laporan polis serta mengambil tindakan mahkamah bagi menjernihkan nama baik kerajaan serta saya sebagai Menteri Besar.
Di Perak ketika ini terdapat sms yang menyatakan beberapa dewan dewan akan sengaja dikunci (oleh orang suruhan ) pada malam ini bagi mencerminkan kebenaran dakwaan Zahid, apabila persekolahan dibuka esok pagi. Persepsi ini bagi mencemarkan imej kerajaan Pakatan Rakyat.

Maka dengan ini sekali lagi saya menegaskan bahawa kenyataan Zahid itu pembohongan semata-mata dan merupakan tindakan ketua UMNO yang tenggelam punca yang akan menerima kekalahan teruk di PRK K Terengganu pada 17 Januari nanti. Saya menafikan dengan tegasnya dawaan dan tohmahan Zahid tersebut. Dia akan menerima padahnya nanti akibat fitnah yang dilemparkanya terhadap saya dan kerajaan Pakatan Rakyat.

Posted by Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin

Orang BD berkata...

Ini SMS kami terima di Perak:

Yang benar tetap mesti kami katakan benar. Zahid pemfitnah besar. Mana ada arahan MB Perak suruh tutup dewan utk KEMAS di Perak?

Carilah idea lain nak popular. Dulu kelentong Mahathir kroni dan nepotisme tapi rupanya tak pernah bercakap pun hal tersebut dalam MKT.

Bila siasat, dia terlebih banyak syarikat dan duit. Mana dia dapat.

Tanpa Nama berkata...

IPOH 5 Jan. — Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib hari ini meminta kerajaan negeri Perak memberi penjelasan berhubung arahan yang dibuat oleh beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pegawai daerah supaya dewan Tadika Kemas dikunci. - Utusan Online, 6 Jan. 2008.