Berawas terhadap orang yang punya sejarah berulang menikam rakan dari belakang!
Oleh Sulaiman Abdullah
Malaysia Instinct
Sikap dan tindak -tanduk Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mula menjadi buah mulut di kalangan anggota masyarakat terutama mereka yang celik politik.
Beberapa sikap yang dipertontonkan Zahid menimbulkan persoalan dan tanda tanya apakah Zahid sebenarnya gunting dalam lipatan kepada pentadbiran Najib.
Untuk memahami mengapa sikap Zahid boleh dipersoalkan maka kita perlu melihat kepada apakah sikap atau perbuatan yang dipertontonkan beliau.
Pertama adalah pemilihan calon pilihanraya kecil Permatang Pasir Ogos lalu.
Zahid selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang telah mencalonkan seorang calon bermasalah iaitu Rohaizat Othman.
Sebelum proses pengundian bermula pun orang ramai sudah tahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan melingkup di kawasan itu.
Puncanya mudah sahaja kerana calon itu penuh bermasalah orangnya seperti memiliki rekod menipu wang pelanggan semasa menjadi peguam, berkahwin dua dan sebagainya.
Disebabkan reputasi dan kedudukan Zahid, apabila beliau mencalonkan satu nama, maka UMNO pusat pun bertindak meluluskan atau endorse nama berkenaan untuk menjadi calon.
Pilihan raya Permatang Pasir ketika itu amat penting buat BN kerana BN ketika itu sedang baru mula melalui momentum kenaikkan apabila hanya tewas dengan undi kecil sebanyak 65 undi sahaja di kubu kuat Pas di Manek Urai pada pilihan raya kecil sebelum itu.
Calon yang dicadangkan Zahid bukan sahaja melemahkan UMNO tetapi mencacatkan momentum sokongan ke atas Najib dari satu segi.
Kemudian, yang terbaru ini, secara tidak semena-mena timbul pula kes kehilangan pesawat pemintas F5E yang berlaku pada tahun 2007 yang tiba-tiba bocor ke pengetahuan media.
Kehilangan itu berlaku ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan.
Ada banyak pihak yang mendakwa bahawa Zahid yang bertanggungjawab membocorkan perihal kejadian itu kepada pihak media.
Tidak ada bukti yang kukuh untuk mengesyaki Zahid tetapi jika niat beliau adalah untuk memburuk dan melemahkan pentadbiran Najib, maka sudah hampir pasti kejadian itu sampai ke telinga media melalui perbuatan Zahid.
Mungkin bukan Zahid yang bercakap terus kepada pihak akhbar, tetapi mungkin dilakukan oleh orang-orang suruhannya.
Terdahulu pada itu, Zahid juga dengan tidak semena-mena mencadangkan agar kerusi Pengerusi BN Pulau Pinang diberikan kepada UMNO.
Walaupun beliau memilki sebab dan alasan untuk berbuat demikian, tetapi sebagai ahli politik yang senior, beliau pastinya lebih arif perkara seperti itu tidak boleh dilakukan terutama di kala sokongan masyarakat Cina kepada BN berada di tahap paling rendah.
Menuduh secara terbuka Gerakan tidak membuat kerja hanya mewujudkan situasi tidak senang Gerakan dengan UMNO dan kepada Najib secara tidak langsung.
Cadangan seperti itu juga dilihat masyarakat Cina sebagai menghakis kuasa politik masyarakat Cina dan UMNO bersikap pembuli.
Walaupun Zahid Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, beliau tidak rugi banyak dengan kenyataan beliau itu, tetapi impaknya ke atas BN dan Najib terutama dari perspektif sokongan masyarakat Cina adalah amat buruk sekali.
Di Janda Baik bebebrapa minggu lalu, Zahid dilaporkan berkata, kalau beliau menjadi Perdana Menteri 12.50, Khairy Jamaluddin (KJ) akan dilantik menjadi menteri 12.51.
Lagi sekali....apa motif Zahid berkata begitu?
Patutnya beliau fahamlah tentu Najib ada sebab untuk tidak melantik KJ.
Kenyataan Zahid itu nyata sekali merendahkan Najib dan tindakan Perdana Menteri. Apakah Zahid cuba menzahirkan beliau lebih bijak daripada Najib?
Atau sebenar mahu memecah-belahkan dengan lebih teruk lagi Pergerakan Pemuda UMNO yang sudah sedia kala agak haru biru di bawah KJ.
Kenyataan itu hanya menambah benci yang mendalam di kalangan penyokong KJ terhadap Najib dan tidak membawa sebarang kebaikkan.
Itu adalah antara beberapa contoh sikap dan tindak tanduk Zahid yang menimbulkan pelbagai persoalan.
Untuk menzahirkan mengapa penulis mencurigai Zahid, harus rasanya dikongsi sedikit pengalaman seorang rakan wartawan menemu bual Zahid secara eksklusif di pejabatnya tahun lalu.
Rakan itu menceritakan kepada penulis, dalam pertemuan hampir satu jam setengah itu, 60 peratus perbualan yang terbit daripada mulut Zahid adalah berkisar kepada Anwar Ibrahim.
Bukannya mengutuk tetapi puji-pujian dan kisah-kisah yang kononnya boleh menimbulkan rasa sedih dan simpati terhadap Anwar.
Zahid adalah Ketua Pemuda UMNO di zaman Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Zahid adalah antara anak didik Anwar yang paling berjaya. Malah, semasa reformasi, Zahid juga antara yang paling banyak memberikan ucapan pembakar semangat di rumah Anwar setiap malam.
Malah, dilaporkan sebab terlalu mengidolakan Anwar, Zahid pada satu peringkat mahu meninggal UMNO untuk menyertai perjuangan Anwar tetapi hasratnya berjaya dipatahkan oleh isterinya sendiri yang tidak bersetuju jika Zahid keluar UMNO.
Zahid adalah bekas Setiausaha Politik Najib dan perlantikan Zahid itu adalah atas arahan Anwar Ibrahim sendiri yang menentukan siapakah pegawai-pegawainya yang harus bersama dengan pemimpin-pemimpin Pasukan Wawasan.
Justeru, peranan Zahid memang sejak awal lagi untuk memantau pergerakan Najib.
Berbalik kepada pengalaman rakan penulis, rakan itu berkata, simpati dan kesetiaan Zahid kepada Anwar masih terlalu menebal.
" Zahir bercerita bagaimana Wan Azizah meninggal nota di peti sejuk mengatakan Papa dah takda jadi semua orang kena berjimat-cermat dan sebagainya bagi memperlihatkan bagaimana keluarga Anwar kononnya bersedih dan susah ketika Anwar dimasukkan ke penjara," kata rakan penulis.
Dengan apa yang diberitahu rakan penulis dan melihat tindak tanduk Zahid, mahu tidak mahu wujud semacam perasaan skeptikal dan curiga terhadap Zahid.
Apakah beliau gunting dalam lipatan?
Mengapa Naib-naib Presiden yang lain seperti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atau Datuk Seri Shafie Apdal tidak pula mengeluarkan sebarang kenyataan atau berkelakuan seperti Zahid?
Apakah Zahid mahu melemahkan pentadbiran Najib untuk membuka laluan yang lebih kukuh kepada Anwar? Mengenangkan kedududkan Zahid dan keintiman beliau dengan ketua pembangikang berkenaan, perkara ini tidak boleh ditolak begitu sahaja.
Atau Zahid mahu melemahkan pentadbiran Najib dengan niat untuk menaikkan dirinya dengan pantas ke jawatan yang lebih tinggi.
Cita-cita politik Zahid pun bukannya kecil, jangan kita lupa Zahid asalnya mencalonkan dirinya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO yang sudah diketahui akan ditandingi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pemilihan UMNO yang lalu. Hanya selepas beberapa ketika baru beliau menarik diri dan mengumumkan bertanding Naib Presiden pula.
Mungkin Zahid mengintai jawatan-jawatan tertinggi negara dan parti untuk dirinya.
Apa pun, sikap dan tingkah laku Zahid dalam UMNO dan kerajaan harus dipantau dari dekat. Jika ada lagi perbuatan-perbuatan yang 'pelik' atau menimbulkan persoalan, maka tidak ada pilihan melainkan Zahid perlu dikawal.
Mencegah itu lebih baik daripada merawat. Sebelum Zahid Hamidi menjadi kanser kepada parti, beliau perlu diubati. Tanda-tanda awal kanser sudah mula kelihatan dan tidak boleh dipandang enteng.