"Setakat empat bulan baru menjadi Menteri"
Oleh: Ibrahim Othman
Ketika ini, ramai pemerhati politik merasakan, antara lapan calon Naib Presiden Umno, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara calon yang paling mudah menang kerana sejarah kehadhirannya dalam Umno, samada di peringkat bahagian (Badan Datoh), mahupun Pusat, cukup berwarna warni.
Tiada siapa yang perasan sebenarnya dalam ramai calon yang ingin menawarkan diri ini, Zahidlah yang paling sukar menang, lebih-lebih lagi dengan pelbagai isu yang timbul kebelakangan ini, dari isu peribadi, keluarga dan ketelanjurannya mengumumkan hasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden, hinggalah percanggahannya dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, (dalam isu boleh membuat pinjaman untuk mengerjakan fardhu Haji) menjadi topik perbincangan.
Di kalangan rakan-rakannya, Zahid cukup popular. Dia popular kerana dia dikatakan mudah didekati dan kenal nama kawan-kawan dalam Umno yang sekaligus dianggap cukup mesra. Tidak hairanlah apabila dia menganjurkan Rumah Terbuka Hari Raya setiap tahun, kehadhiran tetamu cukup luar biasa. Ini membuktikan Zahid memang mempunyai ramai peminat dalam Umno.
Tahun 1996, Zahid yang pernah menjadi Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno itu menang kerusi Ketua Pergerakan itu mengalahkan tiga calon lain. Antara yang kalah di tangan Zahid termasuklah penyandang jawatan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, Tan Sri Annuar Musa, dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Ini kejayaan besar Zahid. Kejayaan itu dikaitkan hubungannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, selain dia juga bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Walaupun Zahid bekerja dengan Najib, tetapi dia dilabelkan sebagai 'budak Anwar'.
Kejayaan itu tidak menjanjikan dia terus kekal di ditu sebaliknya, dalam kes pemecatan Anwar dari Umno, Zahid adalah antara pemimpin Umno yang ditahan di bawah ISA hingga memaksanya melepaskan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.
Pergerakan Pemuda Umno era kepimpinan Zahid 'hancur' apabila Penolong Setiausaha Pergerakan itu, Saifuddin Nasution Ismail, Abdul Rahim Ghouse, dan beberapa lagi bertindak meninggalkan Umno, mengekori perjuangan Anwar.
Lama juga Zahid mengambil masa untuk memulihkan hubungan dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi dengan pertolongan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Johari Baharom, akhirnya Zahid membuat penonjolan kembali. Dia menang kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam pemilihan 2004.
Dr Mahathir marahkan Zahid kerana ucapan-ucapan Zahid ketika menjadi Ketua Pemuda, menyentuh soal KKN - Kronisme, Korupsi dan Nepotisme, perjuangan yang sama dengan perjuangan rakyat Indonesia menjatuhkan Presiden Suharto.
KKN yang disebut Zahid, turut mendapat respon yang baik dari Anwar ketika itu, hingga menyebabkan Umno kehilangan satu kerusi Parlimen apabila calon BN, Ismail Kassim tewas kepada calon Pas, Ustaz Hashim Jasin dalam pilihan raya kecil Parlimen Arau, ekoran kematian Allahyarham Kamaruddin Ahmad.
Parti pembangkang menjadikan isu KKN yang ditimbulkan Zahid dan Anwar sebagai modal berkempen di Arau, kerana Ismail yang ketika itu adalah Ketua Pergerakkan Umno Bahagian Arau, adalah adik kepada Menteri Besar Perlis ketika itu, Datuk Shahidan Kassim.
Baru-baru ini, sebaik sahaja Zahid mengumumkan hasratnya mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, dia menggunakan nama Najib sebagai 'regu terbaik' yang perlu mendapat sokongan akar umbi. Serentak dengan itu, musuh-musuh Zahid sibuk mengedar risalah berbentuk CD dan buku kecil, kisah jenayah kononnya Zahid terlibat memukul seorang lelaki yang berkawan dengan anak perempuannya.
Malahan, gambar isteri Zahid yang dikatakan baru mendapat rawatan kecantikan 'ala botox' juga turut diedarkan merata tempat, termasuk melalui MMS, e-mail dan edaran tangan, turut mendapat perhatian ramai. Kebetulan, Zahid sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama, mula dipersoalkan pendirianya terhadap hukum botox di negara ini.
Ramai juga yang hairan, mengapa Zahid begitu berani mengumumkan hasratnya untuk menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden dan kemudiannya memberitahu media, dia membatalkan hasratnya itu selepas mengadakan perbincangan (baca: pertemuan) dengan Najib.
Khabarnya, Najib cukup kecewa dengan Zahid kerana 'kelihatan gelojoh' kerana ketika membuat pengumuman itu, Zahid turut mengaitkan namanya dengan Najib, seolah-olah Najib sudah dirujuk lebih awal.
Di kalangan para penyokong Zahid, mereka seolah-olah sudah merasakan Zahid sudah menang kerusi Naib Presiden, hingga membuatkan mereka sudah tidak perlu berkempen menagih undi dan meminta sokongan dan perwakilan.
Malahan, SMS tersebar sekarang, dengan pelbagai perkara negatif menyentuh Zahid yang kononnya sedang membuka bilik gerakan untuk mengerakkan jentera kempennya - padahal, ia tidak benar dan SMS itu merupakan SMS palsu yang kononnya diuruskan bekas Exco Pergerakan Pemuda, Zayadi Awang Noh.
Sumber yang rapat dengan Zahid ketika dihubungi mengenai SMS mengundang seseorang menjadi jentera kempen Najib, menafikan undangan itu dan kesal dengan perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab itu.
Di bawah juga, mereka yang tidak sukakan Zahid tetap menolak Zahid sebagai salah seorang bakal Naib Presiden Umno kerana kata mereka - setakat empat bulan baru menjadi Menteri, mengapa harus begitu pantas mahu dinobatkan sebagai salah seorang Naib Presiden Umno?
Mereka menyebit Hishamuddin sebagai contoh sudah lebih 10 tahun menjadi Menteri, bermula sebagai Menteri Belia dan Sukan dan kini Menteri Pelajaran. Mereka juga membandingkan Zahid dengan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal yang sudah duduk di dua Kementerian, bermula di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan kini, sebagai Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Datuk Seri Mohd Khaled Nordin juga sudah berpengalaman di dua Kementerian iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan kini Menteri Pengajian Tinggi. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sudah pernah menang Naib Presiden dalam tahun 2004. Datuk Seri Dr Rais Yatim adalah 'orang lama' yang pernah menjadi Menteri Penerangan , Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Tanah dan Kemajuan Wilayah, Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan dan kini, merupalan Menteri Luar.
Begitu juga dengan Datuk Seri Syed Hamid Albar yang pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Undang-Undang, Menteri Pertahanan, Menteri Luar dan kini Menteri Dalam Negeri, manakala Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis pernah menjawat Menteri Kewangan ke 2, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Apa istimewanya Zahid yang baru duduk sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas PRU 12 yang lalu dan kini, mahu menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden?
Perwakilan Umno tentunya rasional 'ketika mengundi' dengan mengutamakan semua hujah ini sebelum mereka melakukan kesilapan yang akan merugikan Umno!
Zahid mungkin tidak terfikir dia sukar untuk menang, kerana pemnyokongnya terus menerus meyakinkan dia bahawa da boleh menang mudah.
TENGKU ZAFRUL AKAN PERJELAS SPEKULASI SERTAI PKR DALAM MASA TERDEKAT
5 hari yang lalu